Malaysia Dateline

Singapura akan adakan pilihan raya umum di tengah gelombang Covid-19

Presiden Singapura, Halimah Yacob semalam membubarkan Parlimen negara itu, sekali gus membuka jalan pilihan raya umum diadakan biarpun negara itu masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Melalui watikah perisytiharannya beliau berkata, menurut perlembagaan negara itu, pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh pembubaran parlimen.

Sehubungan itu, Writ Pilihan Raya dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi, sementara kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri mengatakan bahawa Hari Penamaan Calon adalah pada 30 Jun.

Melalui pengumumannya menerusi televisyen republik itu yang disiarkan melalui Facebook, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pula berkata, beliau memutuskan supaya pilihan raya diadakan segera, biarpun negara itu masih berhadapan dengan penularan Covid-19, adalah untuk memberikan mandat baharu lima tahun, kepada kerajaan.

Katanya, selepas pilihan raya itu nanti, kerajaan boleh menumpukan kepada agenda nasional, termasuk menanangani pandemik Covid-19, soal ekonomi serta pekerjaan dan terhadap keputusan-keputusan yang sukar untuk dibuat dan dilaksanakan.

Tambah beliau, alternatif yang ada adalah menunggu pandemik berakhir tetapi katanya, tidak ada jaminan ia akan berakhir sebelum penggal pemerintahan kerajaan sekarang berakhir pada April depan.

“Wabak Covid-19 dijangka akan terus menular sekurang-kurangnya untuk setahun lagi, atau mungkin lebih, sehinggalah vaksin diperolehi,” kata beliau.

Kata Lee lagi, pilihan raya umum kali ini tidak seperti pilihan raya umum lain yang pernah dialami oleh rakyat Singapura.

Ia, katanya, bukan disebabkan oleh peraturan-peraturan khas akibat Covid-19, tetapi situasi dan isu-isu semasa yang mendesak yang perlu dihadapi.

Semalam, Singapura mencatatkan 119 kes baharu jangkitan Covid-19 dan majoriti terbesar yang dijangkiti wabak berkenaan adalah dalam kalangan pekerja asing di negara itu.

Sehingga kini Singapura mencatatkan 42,432 kes berhubung jangkitan Covid-19.