Singapura belum terima makluman rasmi batal projek HSR

Singapura belum terima makluman rasmi batal projek HSR

Singapura belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kata Kementerian Pengangkutan republik itu, pada semalam.

“Kami bersetuju meneruskan projek HSR berdasarkan manfaat bersama dan kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian dua hala HSR,” kata jurucakap kementerian itu dalam emel kepada Bernama.

“Kami akan menunggu komunikasi rasmi daripada Malaysia,” kata jurucakap itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan Malaysia akan membatalkan projek itu dan mungkin membayar (RM atau S$) 500 juta dalam bentuk pampasan.

“Ia adalah keputusan muktamad, tetapi ia akan memakan masa berikutan kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

“Ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek.”

Dr Mahathir berkata, Malaysia akan membincangkan perkara itu dengan Singapura tidak lama lagi supaya pembatalan projek itu dilakukan dengan “kos rendah”.

HSR yang membabitkan laluan sepanjang 335km akan dibina di Malaysia, membabitkan 4 negeri untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026.

 

 

 

 

 

 

 

CATEGORIES
TAGS