Malaysia Dateline

Singapura cadang bertemu Malaysia mengenai Kawasan Larangan meliputi ruang udara Pasir Gudang

Singapura telah mencadangkan untuk bertemu dengan Malaysia bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal oleh Kuala lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2 Jan 2019.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Kawasan Larangan itu yang berada dalam lingkungan ruang udara yang terkawal dan sesak akan memberi impak kepada operasi sedia ada dan operasi biasa oleh pesawat yang melalui ruang udara tersebut.

“Kami telah membangkitkan kepada Malaysia tentang kebimbangan kami terhadap kesan buruk Kawasan Larangan ke atas penerbangan awam,” kata kementerian dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan pertanyaan media mengenai pewujudan Kawasan Larangan oleh Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Dis 2018.

Melalui notis tersebut, Malaysia telah memaklumkan kepada pihak berkaitan penerbangan mengenai pewujudan Kawasan Larangan kekal untuk tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2 Jan 2019, kata kenyataan itu.

— BERNAMA