Singapura harap capai keputusan mengenai HSR diterima kedua-dua negara.

Singapura harap capai keputusan mengenai HSR diterima kedua-dua negara.

 

Singapura berharap dapat mencapai keputusan mengenai Projek Keretapi Laju (HSR) yang dapat diterima kedua-dua negara tidak lama lagi, demikian menurut Kementerian Pengangkutan republik itu.

Jurucakap kementerian tersebut berkata, kedua-dua pihak sedang berbincang mengenai permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu.

“Kami berharap dapat mencapai keputusan yang dapat diterima kedua-dua negara tidak lama lagi,” kata jurucakap itu dalam jawapan e-mel kepada Bernama hari ini.

Kementerian itu diminta memberi respons kepada laporan bahawa Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan projek tersebut.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali awal hari ini dilaporkan berkata, keputusan itu berikutan keadaan ekonomi semasa Malaysia.

Beliau berkata, Singapura telah bersetuju dengan pandangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan projek sehingga ekonomi pulih.

Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas beberapa siri perbincangan dengan kerajaan Singapura dan satu persetujuan dicapai yang Malaysia tidak perlu membayar pampasan kepada Singapura semasa tempoh penangguhan itu.

“Jika pada akhir tempoh penangguhan projek itu dibatalkan, barulah kita perlu membayar. Selepas tempoh penangguhan tersebut, kita yakin akan meneruskan projek berkenaan.

“Kita juga akan terus membincangkan bagaimana kita dapat mengurangkan kos projek tersebut, mungkin dengan menggunakan teknologi baru atau melihat aspek lain,” katanya.

Mohamed Azmin berada di sini minggu lepas untuk meneruskan perbincangannya mengenai projek HSR dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

CATEGORIES
TAGS