Malaysia Dateline

Singapura setuju tangguh HSR atas semangat dua hala negara

Singapura boleh menolak permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), menguatkuasakan hak dari segi undang-undang mengenai penamatan serta menuntut pampasan dari Malaysia, lapor Channel NewsAsia hari ini.

Tetapi Singapura memutuskan untuk mencari satu “penyelesaian alternatif” kepada masalah tersebut berdasarkan “semangat kerjasama dua hala”, terutama selepas Malaysia memberi jaminan kepada Singapura bahawa ia mahu menyambung semula projek HSR, walaupun selepas kelewatan berkenaan, Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan dilaporkan berkata di Parlimen.

Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek itu bagi tempoh sehingga 31 Mei 2020.

Pertukaran dokumen undang-undang antara kedua-dua negara-negara telah dilakukan pada 5 September di Putrajaya.

Malaysia telah bersetuju untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta kepada kerajaan Singapura selewat-lewatnya 31 Januari 2019.

Khaw berkata, menolak permintaan berkenaan adalah selaras dengan perjanjian dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara pada Disember 2016.

“Selepas itu, jika dan apabila Malaysia sudah bersedia untuk meneruskan projek itu, kita boleh membincangkan perjanjian dua hala yang baharu untuknya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Khaw berkata, selepas dua tahun, anggaran kos semasa mungkin tidak lagi sah, yang akan “menjejaskan daya maju projek dan kes perniagaannya”.

“Tempoh penangguhan yang lebih panjang juga akan memberi kesan kepada rancangan pembangunan kita untuk Daerah Tasik Jurong, yang akan menempatkan Terminal HSR Singapura serta banyak pembangunan pengangkutan, komersil, kediaman dan rekreasi,” katanya seperti dilapor Bernama.

Menurut menteri itu, Malaysia telah meminta bahawa dalam tempoh penangguhan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan masa depan projek dengan tujuan mengurangkan kos.

Khaw berkata, Singapura terbuka kepada perbincangan sedemikian, tetapi tidak diwajibkan untuk menerima secara automatik apa-apa cadangan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Singapura akan menilai sebarang cadangan dari Malaysia “dengan teliti dan objektif”.