Malaysia Dateline

Singapura tingkatkan langkah keselamatan di pusat pemeriksaan

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) akan meningkatkan pemeriksaan keselamatan dan rondaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut republik itu sepanjang sambutan perayaan akhir tahun ini.

Sehubungan itu, masa yang lebih lama akan diambil untuk mendapatkan pelepasan imigresen dan pelawat dinasihati mengambil kira aspek ini dalam perancangan perjalanan mereka.

Sempadan kami merupakan barisan pertahanan pertama kami dan keselamatan di pusat pemeriksaan adalah keutamaan ICA, kata agensi itu dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lebih ketat akan dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang melalui pusat pemeriksaan darat.

ICA turut menasihati pengguna jalan raya agar menyemak keadaan trafik menerusi laman sesawang Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat ‘One Motoring’ sebelum memulakan perjalanan.

Sementara itu, pelawat yang menggunakan pengangkutan udara dan laut pula wajar memperuntukkan masa yang mencukupi untuk pemeriksaan keselamatan, katanya.

Kami mohon pemahaman dan kerjasama orang ramai dalam usaha kami menjaga jkeselamatan sempadan kami pada musim perayaan ini, katanya.