Malaysia Dateline

Singgah sahur tautan kasih program santuni nelayan daif, kata Faiz Fadzil

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), telah menjalankan program Singgah Sahur Tautan Kasih LKIM bersama Nelayan di Kampung Kuala Jerlun, Kedah,pada Ahad, sebagai salah satu projek menyantuni para nelayan yang dilaksanakannya bersempena dengan bulan Ramadan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program tersebut bertujuan menyantuni para nelayan uzur dan daif dengan pemberian sumbangan, melawat jeti pendaratan ikan, bersahur dan di tutup dengan tazkirah Ramadan.

Dalam tazkirah Ramadannya bersama para nelayan, beliau sempat menekankan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang mementingkan praktikiliti dalam ajarannya.

“Sebagai contoh, Islam mengajar umatnya untuk membela fakir miskin yang kelaparan, maka Allah memerintahkan ibadat puasa supaya umat Islam menghayati keperitan hidup mereka bagi memberikan keinsafan kepada diri.

“Begitu juga nelayan yang berperanan mengekalkan ekosistem laut dengan menggunakan peralatan penangkapan ikan yang mengikut peraturan kerana Islam mementingkan umatnya menjaga bumi ini dengan baik.

“Inilah konsep rahmatan lil alamin yang dibawa Islam untuk manusia hidup dalam harmoni dan kasih sayang. Perbezaan yang wujud di kalangan manusia adalah satu rahmat untuk kita saling kenal mengenali dan bukannya saling benci membenci.

“Persengketaan kaum jika diapi-apikan tidak membantu mengubah nasib nelayan, sebaliknya kerajaan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan taraf hidup nelayan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Faiz Fadzil (tengah) menyampaikan bantuan makanan kepada sebuah keluarga nelayan.-Foto: FB Faiz Fadzil.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah berkata, subsidi minyak dan elaun sara hidup tetap diteruskan di samping banyak lagi polisi baharu untuk membantu rakyat.

Atas dasar ini juga katanya, LKIM telah melancarkan budaya kerja baharu iaitu cekap , amanah , peduli (cap) untuk memantapkan fungsi LKIM dalam industri perikanan.

“Satu perkongsian yang cukup berharga bersama warga nelayan dan saya mendoakan keselamatan mereka di laut. Kita perlu menghayati bulan Ramadan sebagai peluang bermuhasabah untuk kita melakukan perkara yang lebih baik dalam hidup kita.

“Pada program itu, saya telah bergerak dari rumah ke rumah sebanyak lima buah rumah nelayan yang saya kunjungi seawal jam3.30 pagi. Kita telah menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan asas dan bersahur bersama mereka dengan kehadiran hampir 100 orang,” katanya.