Malaysia Dateline

Siri 2: Almarhum Ahmad Lutfi, penulis yang amat kental dan berprinsip

Sebelum saya sambung siri semalam izinkan saya membuat sedikit koreksi di atas sedikit kesilapan teknikal di atas isu pembelaan kes purdah yang dilakukan oleh arwah.

Saya telah dimaklumkan oleh seorang sahabat yang juga agak rapat dengan arwah bahawa alasan sebenar arwah dibuang universiti bukan atas isu tersebut walaupun arwah diketahui agak lantang pada masa itu bersuara tentang isu hak pemakaian tersebut.

Justeru itu atas dasar justice and fairness, saya rasa adalah wajar untuk dibetulkan kesilapan yang tidak disengajakan itu.

For whatever reason, insyaAllah i will try my best to be fair to all parties in my writing .

Apa pun, terima kasih di atas info yang diberikan itu dan alhamdulillah agak ramai juga yang berminat mengikuti artikel penulisan saya tersebut

Saya cuba sedaya upaya berkongsi kehebatan perjuangan arwah Ahmad Lutfi رحمه الله di dalam tulisan saya ini.

Kita kembali kepada isu pendakwaan ke atas penerbitan akhbar tidak berkala yang dinamakan “haraki” oleh Almarhum Ahmad Lutfi di mana kakitangan beliau yang bernama Zabidi bin Morad telah didakwa di bawah seksyen 5( 2 ) ( b ) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Meskipun saya memaklumkan pada Almarhum yang saya yakin dan percaya saudara Zabidi insyaAllah akan diputuskan tidak bersalah tanpa perlu dipanggil membela diri lalu akan dibebaskan, namun saya tersilap di mana saudara Zabidi yang dipanggil membela diri, didapati bersalah dan dihukum denda RM5,000 dan jika gagal bayar denda boleh dihukum 2 bulan penjara.

Justeru itu, saya memanggil arwah Lutfi menjadi saksi pembela di samping saudara Zabidi sendiri.

Tetapi, seperti saya katakan, mahkamah telah putuskan saudara Zabidi bersalah.

Maka,saya telah menasihati arwah Ahmad Lutfi untuk merayu ke atas keputusan puan majistret tersebut. Arwah bersetuju.

Alhamdulillah rayuan saya di hadapan Yang Arif Hakim Heliliah Mohd Yusuf pada sekitar tahun 2002 dibenarkan oleh hakim mahkamah tinggi itu. Ya, kemenangan berpihak kepada saudara Zabidi dan arwah Ahmad Lutfi.

Alasan utama kami menang kerana hakim mahkamah tinggi bersetuju bahawa puan majistret telah tersilap memanggil saudara Zabidi membela diri sedangkan pertuduhan ke atas beliau adalah cacat dan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di sisi undang undang.

Kenapa?

Kerana dalam Akta itu tuduhan ke atas saudara Zabidi yang dikatakan memiliki akhbar haraki tanpa permit adalah cacat dan saya hujahkan berdasarkan seksyen 5 (2) (b) Akta itu, kesalahan memiliki akhbar tanpa permit simpliciter (setakat memiliki sahaja) bukanlah satu jenayah.

Alhamdulillah, Hakim setuju dengan hujah tersebut dan Zabidi alhamdulillah didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Zabidi dan arwah Lutfi amat gembira.

Siapa yang berminat membaca keputusan YA Hakim Helilliah itu di jurnal undang-undang iaitu di (2003 ) MLJU 607 boleh baca penghakiman beliau seperti di bawah ini.

Maaf, saya kena juga sambung esok sebab takut esei ini menjadi terlalu panjang.

InsyaAllah mungkin ada dua atau tiga siri lagi walaupun asalnya saya cadang hanya ingin menulis setakat dua.