Sisa binaan:Kerajaan Negeri Johor tidak berkompromi, sedia perkemas pengurusan

Tan Hong Pin (tengah) bersama ahli Persatuan Kontraktor Sisa Binaan selepas mengadakan mesyuarat semalam.

Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan para kontraktor menangani pembuangan sisa pepejal industri di negeri itu tanpa memathui peraturan dan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Tan Hong Pin berkata, Kerajaan Negeri amat terbuka dan bersedia untuk mengadakan pertemuan, perkongsian dan perundingan bersama para kontraktor dalam menemukan langkah penyelesaian yang memenangkan semua pihak.

Sehubungan dengan itu, satu pertemuan dan perundingan telah diadakan oleh pihak Kerajaan Negeri Johor bersama Persatuan Kontraktor Pengurusan Sisa Binaan semalam.

“Ia bertujuan bagi membincangkan kekangan yang dihadapi mereka untuk melupuskan sisa binaan dan cadangan bagi melicinkan pengurusan sisa berkenaan.

“Berdasarkan perbincangan tersebut, pihak Kerajaan Negeri Johor cakna dan prihatin akan kekangan yang dihadapi para kontraktor antaranya seperti yuran pelupusan, pengoperasian di tapak pelupusan serta kemudahan pelupusan yang terhad dan tidak ekonomikal bagi perkhidmatan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan tindakan penguatkuasaan oleh pihak SWCorp Negeri Johor terhadap kontraktor yang melupuskan sisa binaan tersebut di kawasan tidak digazetkan dan telah diputuskan oleh pihak mahkamah pada awal bulan ini.

Oleh itu Kerajaan Negeri bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama pihak yang berkepentingan bagi bersama-sama memperkemas operasi pengurusan sisa binaan sekaligus dapat membanteras kawasan longgokan sampah dan tapak pelupusan haram di negeri Johor.

Kerajaan Negeri juga akan mempertimbang dan mempercepat permohonan untuk mewujudkan kemudahan khusus bagi melupuskan sisa binaan bagi menampung keperluan sektor tersebut seiring dengan pembangunan pesat di serata negeri Johor.

“Pertimbangan akan turut diberikan terhadap perkara berkaitan pemilihan tanah pelupusan sisa binaan khususnya yang kini digunapakai oleh para kontraktor.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk duduk berbincang bagi menemukan penyelesaian tuntas dan saksama.

“Malah, tindakan tegas akan dikuatkuasakan terhadap kontraktor yang gagal manfaatkan kemudahan tersebut dengan mengambil jalan mudah.

“Kerajaan Negeri akan memaklumkan perkembangan tentang sebarang langkah penyelesaian yang ditemukan daripada semasa kepada semasa,” ujarnya.