Sisi nyata wakil rakyat DAP

Sisi nyata wakil rakyat DAP

Beliau adalah Dr. Ong Kian Ming, bekas ahli Parlimen kawasan saya (Parlimen Serdang). Sudah tentu dari parti Roket.

Saya bermukim di kawasan di mana majoriti penduduk adalah kaum Cina (Dun Balakong). Jadi, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk meletakkan idealisme perkauman apatah menjadi ultra-Melayu bila saya hidup dalam kelompok ini. Jiran saya ada yang namanya Ah Piu, Ah Ping, tauke kedai perabot naik Merc, apek yang selalu jogging malam, nenek yang selalu jalan ‘slow’ pergi kedai. Saya tak thau pun nama betul dia orang, tapi itu ‘description’ saya bila berbual dengan suami.

Ok. Berbalik pada Dr. Ong Kian Ming tadi. Saya kenal mukanya sebagai ahli parlimen dalam majlis-majlis di surau taman. Saban tahun, ketika majlis berbuka puasa dan sambutan raya, pasti ada muka dia dan YB Eddie (Ng Tien Chee). Beliau juga banyak memudahkan urusan bantuan kewangan berkaitan surau taman. Tanpa banyak karenah dan birokrasi, pakai whatsapp saja pun boleh jadi ‘kick-off’ permohonan bantuan.

Ketika kawasan Balakong teruk dengan isu ketiadaan air suatu masa dulu, beliau dengan sabar melayan hentaman-hentaman penduduk dalam whatsapp. Hentaman dari kaum beliau sendiri yang banyak. Selalu bagi respon dan update apa hasil tindakan beliau untuk atasi masalah penduduk. Pendek kata beliau adalah ahli parlimen yang ‘boleh harap’lah.

Di acara fun-run 6km Pesta Balakong pun kami pernah berselisih. Dia beratur di belakang saya untuk acara tamat larian. Nak ajak selfie tapi malu la pulak (bukan kaki selfie pun).

Jadi, untuk saya melihat dakyah-dakyah yang mengatakan DAP adalah parti anti-Islam yang perlu dibenci adalah susah untuk saya terima. Ana tahu… eh, saya tahu, banyak edaran kenyataan individu-individu parti itu berkenaan Islam yang disebarkan. Ada yang mungkin betul, ada yang pasti salah, ada yang silap faham konteks. Namun bagi saya ia adalah hasil daripada kegagalan umat Islam sendiri yang mempamerkan sisi negatif diri mereka yang memberi gambaran buruk terhadap Islam: keras, tiada karisma, tidak berjiwa besar, suka bergaduh benda remeh-temeh.

Seperti mana sesetengah pemimpin parti yang tegas dengan dasar dan prinsip perjuangan. Maka begitu juga DAP yang mewakili kebanyakan kaum mereka teguh dengan dasar sekularisme serta mendokong hak-hak yang digariskan dan dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Jadi, apakah solusi terbaik bagi pertembungan dua kaum dan dua dasar langit dan bumi ini? Dua-dua duduk di tanah yang sama ini?

Saya sebagai individu yang duduk di tengah-tengah kaum bukan muslim akan cenderung memilih pemimpin yang boleh menyatukan perbezaan ini. Saya suka pemimpin yang boleh mencabar diri mendepani realiti dakwah dan berusaha menjadikan mereka relevan untuk memimpin masyarakat majmuk Malaysia. Bagi yang tidak sudi meneruskan misi ini, tidak mengapa… tetapi jangan dikecam dan direndahkan pemimpin yang ingin mencuba meluaskan paradigma Islam.

Haluan dan cara siyasah kini mungkin berbeza tetapi matlamat Islam itu tetap sama. Cara siapa yang paling tepat dan mulia? Allah sahaja yang tahu. Alangkan main bola pun ada pelbagai strategi dan formasi, tujuannya untuk? Gol dan menang. Apatah lagi berpolitik untuk memimpin negara.

Saya bersetuju dengan pandangan seorang tokoh politik (tak ingat nama-tengok video temuramah)(pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Atory Hussein – editor), DAP telah hilang banyak sikap ultra-Chinese sejak bersama Pas ketika di dalam Pakatan Rakyat dahulu. Mereka juga banyak cuba menyempurnakan hak orang Melayu Islam ketika memimpin Pulau Pinang (berdasarkan fakta belanjawan negeri). Mereka berpeluang untuk belajar memimpin pelbagai kaum dan agama. Pas wajar mendapat kredit atas usaha ini. Terima kasih. Perjalanan dakwah masih jauh dan pemimpin AMANAH kini menggalas tugas yang ditinggalkan kepada mereka.

Besar harapan saya untuk melihat perubahan kepimpinan Malaysia menerusi PRU kali ini:-

1. Barisan Nasional pula belajar menjadi pembangkang sebagai sesi muhasabah atas puluhan tahun memerintah dengan cara yang anda semua maklum.

2. Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti, berpandangan jauh dan mampu membawa Islam di dalam ruang lingkup yang harmoni dan saling menghormati. Terlalu banyak kerosakan persepsi yang berlaku sepanjang tempoh sebelum PRU kali ini dan semua ini perlu diperbaiki.

3. Menghapuskan idea perkauman yang sentiasa membarah dalam masyarakat. Asal nak pilihan raya, idea ini disemarakkan merata-rata. Saya tidak mahu generasi muda akan datang hidup dengan ideologi yang sempit ini.

Sekian dari saya,
RAKYAT BALAKONG
(Mengundi di Kajang) – fb

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0