Malaysia Dateline

Sisi positif Mahathir yang boleh diteladani, jadi sumber inspirasi

Ahmad Lutfi OthmanDr Mahathir Mohamad sentiasa menjadi perhatian, sama ada selepas dipecat Umno pasca tragedi 1969, apatah lagi semasa jadi perdana menteri 22 tahun, seterusnya pengkritik keras Abdullah Badawi dan Najib Razak, kembali sebagai PM 22 bulan, dan kini memimpin parti baru, Pejuang.

Saya bersetuju dengan pandangan sahabat saya, Mohd Sayuti Omar II, bahawa ada sisi positif yang perlu atau boleh diteladani daripada sosok negarawan 95 tahun ini, terutama kegigihan dan kecekalannya yang luar biasa. Pada hari mahkamah putuskan kesahihan pemecatan Mahathir daripada menjadi ahli Bersatu, parti yang diasaskannya sendiri, beliau terus mengumumkan penubuhan parti baru sebagai wadah buatnya dan rakan-rakan senasib, untuk terus menentang kleptokrasi dan kerajaan pintu belakang.

Sikap, pendirian dan keputusan politik yang diambil Mahathir kerap mengundang polemik dan kontroversi. Ramai membantah keras, tidak kurang pula yang menyokong. Namun, yang pasti, dia pantas dan tangkas membuat keputusan. Ada keberanian tersendiri, seterusnya bersedia mengharungi pelbagai cacian, kritikan, kecaman dan sindiran. Tidak ramai pemimpin politik yang berperwatakan begitu. Ramai yang sering berdolak-dalik, tidak kejap pendirian, terlalu banyak pertimbangan atau menjaga hati, mencari jalan selamat, sukar bergerak ke depan, sebaliknya berpusing-pusing di bulatan, serta mudah terpengaruh dengan lingkungan.

Bagi rakan-rakan pimpinan dalam PKR, AMANAH dan DAP tentunya mempunyai pengalaman lebih awal berkolaborasi dengan Mahathir. Penentangannya terhadap regim Najib Razak dengan skandal mega 1MDB boleh disorot balik. Kritikannya tajam menikam, langsung tidak berselindung atau berlapik; ungkapan yang dipilih nampak kasar tidak beradab seperti “penyamun, pencuri dan penyangak”. Pertama kali saya mendengarnya melalui FB Live, saya pun “terkejut beruk”, begitu juga hadirin di lokasi, tetapi respons mereka diluahkan dalam bentuk ketawa panjang. Mungkin ramai beranggapan serangan Mahathir itu terlalu kasar-lancang. Namun kesan akhirnya audien seakan boleh menerimanya. Saya tak berapa pasti apakah kalimah “pembunuh” juga pernah diungkapkan Mahathir. Memang daripada satu sudut, beliau boleh dianggap seorang “pelampau” atau “berlebih-lebihan” dalam memerangi musuh politiknya. Tetapi dari situ, dia menarik perhatian umum dan publik ditarik kepadanya.

Bagaimana keperluan Pakatan Harapan membentuk struktur dan disiplin organisasi yang lebih kemas, tidak seperti Pakatan Rakyat yang agak longgar dan loose. Jawatan-jawatan pengerusi, ketua umum dan presiden diwujudkan. Khabarnya sejak awal Mahathir mahu calon-calon “grand coalition” pembangkang bertanding dalam PRU14 atas satu lambang. Sebenarnya idea ini sudah dilontarkan masa PRU13, tetapi berdepan kesulitan besar, khususnya daripada akar umbi DAP dan Pas. Tidak mudah akar umbi menerima DAP tanpa roket dan Pas tanpa bulan. Rupanya pendaftaran rasmi oleh RoS bukan halangan utama; dan Mahathir telah membuktikannya pada 2018. Tanpa pendaftaran Pakatan Harapan, malah ketika parti Bersatu sendiri berdepan banyak kekangan daripada RoS pun, hasrat bertanding di bawah satu logo berjaya direalisasikan oleh Mahathir. Nampak jelas misi serta target Mahathir dan beliau akan berusaha gigih menjayakannya.

Mungkin Mahathir ini jenis “hati kering”, “keras kepala” dan “kejam”, serta “yakin diri yang terlalu tinggi” dan mungkin hingga berlebihan. Seorang veteran Pas yang pernah aktif dalam Umno Kedah menyifatkan gaya politik Mahathir umpama “berdepan sekecil-kecil musuh dengan sebesar-besar senjata”. Mungkin ada yang membantah, sebaliknya mengemukakan bukti ramai seteru Mahathir kembali menjadi regunya. (Pengecualian mungkin kepada Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim). Beliau juga dikenali sebagai personaliti berpegang kuat dengan disiplin, menepati masa dan rajin mendalami ilmu-kemahiran. Kerap mengulangi kepercayaannya bahawa kita boleh saja menguasai apa jua bidang baharu, asalkan dilakukan secara berulang-ulang dan tidak jemu.

Melayari bahtera perjuangan, terutama semasa di posisi pembangkang, memerlukan daya tahan dan daya saing yang luar biasa staminanya. Ujian sering bertali arus; ada kalanya berbentuk tribulasi dan ujian keperitan, tidak kurang juga dalam format tawaran dan godaan yang menggiurkan. Sedihnya, kita agak tandus model teladan atau wira-hero yang boleh dicontohi. Politikus sering dilihat mudah lentur daya juangnya. Prinsip boleh berubah dan digadai, bergantung tawaran dan sogokan. Watak Mahathir sudah pasti tidak sempurna untuk dijadikan wira, terutama rekodnya yang begitu lama menjadi perdana menteri, 1981-2013. Banyak tindak-tanduknya yang dilihat bercanggah dengan amalan good gòvernance, hak asasi, keadilan, malah dicemari teruk elemen rasuah, kronisme, salahguna kuasa, kuku besi, pembaziran melampau, mencabul kebebasan kehakiman, memperkakas jentera-kemudahan kerajaan, mengongkong media dan sebagainya. Khususnya apabila berdepan cabaran sengit saingannya dalam politik, pendekatan Mahathir cukup kontroversi.

Namun, bagi pihak tertentu, Mahathir telah menunjuk jalan apabila kita bercerita tentang kegigihan, kecekalan, keberanian, ketahanan melawan dan keyakinan yang tinggi. Mungkin di kala ramai mencemuhnya, tidak sedikit yang melihat pesonanya sebagai sumber inspirasi. Tidak keterlaluan jika ada kelompok yang menyanjungnya sebagai wira, hero dan penyelamat. Dalam hal ini, saya bersikap terbuka. Memahami golongan yang amat membenci, berprasangka dan memandang serong Mahathir. Dan meraikan kelompok yang terus mengkaguminya, menjadi idola, pembakar semangat dan tetap berbaik sangka serta meletakkan harapan tinggi kepadanya.

Ketika saya menyusun buku kecil “Mengapa Mahathir?” menjelang hari pengundiaan PRU14, sentimen syak wasangka terhadap Pengerusi Bersatu itu masih cukup tinggi. Tidak mudah cadangan namanya sebagai calon perdana menteri diterima. Beliau bernasib baik kerana tiada saingan yang menonjol. Anwar di dalam penjara. Muhyiddin Yassin dilihat tidak cukup menyerlah auranya meskipun dianggap paling berpengalaman dalam pentadbiran. Hanya Mahathir disepakati sebagai sosok yang mampu meraih sokongan tambahan untuk menumbangkan regim BN.

Rakan-rakan rapat saya kebanyakannya tidak bersetuju Mahathir yang berusia 93 tahun itu kembali menjadi PM. Sekitar anggaran sembilan daripada sepuluh orang berpandangan begitu. Tetapi mereka juga tiada calon lain. Dan saya pula berkempen melalui buku kecil itu, lupakan masa lalu Mahathir, misi besar kita adalah menjatuhkan BN-Najib; isu lain yang berbangkit kita selesaikan apabila tiba masanya. Saya tidak pernah cuba menulis semula hikayat lama Mahathir. Rekod buruk, hodoh, dan autokratiknya sudah terakam dalam sejarah. Kita perlu membentuk sejarah baru Malaysia dan tanahair tercinta perlu diselamatkan. (Persoalan Pas, termasuk hubungan sulitnya dengan Umno sebelum PRU14 kita perincikan dalam tulisan berasingan. Dahulu Pas bermati-matian menafikan komplotnya dengan Umno, tetapi sekarang pemimpinnya saling mendakwa merekalah yang paling awal merintis jalan “penyatuan Melayu” itu).

Balik kepada faktor Mahathir yang masih relevan dan dilihat banyak mempengaruhi lanskap politik tanahair. Mungkin ada pihak membandingkan dengan kecekalan, ketabahan dan kesabaran Anwar, yang dirasakan lebih menyerlah daripada Mahathir. Saya tidak berhasrat tercebur dalam polemik yang tiada kesudahan itu. Medan perdebatan di antara para penyokong Mahathir-Anwar ini hanya meletihkan minda. Biarpun sarat kritikan terhadap pentadbiran 22 bulan Mahathir-PH termasuk daripada penyokong Anwar sendiri, saya secara peribadi masih melihat sisi-sisi positif dalam usaha pembaharuannya. Saya nampak elemen reformasi tetap berkembang dan bergerak, walaupun belum mencapai target. Saya juga masih percaya Mahathir bukanlah arkitek yang menjatuhkan kerajaannya sendiri seperti didakwa. Masakan akibat tangan ghaibnya, beliau hilang jawatan PM dalam sekelip mata, dan anaknya Mukhriz terlucut kedudukan sebagai MB Kedah buat kedua kalinya.

Mungkin ada pihak mendakwa saya tersilau ekoran sanjungan berlebihan kepada Mahathir. Saya menulis berdasarkan pengetahuan, sedikit pengalaman dan bacaan politik saya. Mungkin saya terlindung daripada informasi yang orang lain ada. Pihak lain yang tidak bersetuju boleh menulis daripada pemerhatian dan sudut pandang mereka sendiri. Dalam bahagian kedua nanti, saya cuba mengulas penubuhan parti baharu Mahathir pula.