Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau mengikuti isu pendengaran Jawatankuasa Senat Kehakiman (Judicial Committee) di Amerika berhubung isu pelantikan calon Mahkamah Agong, Brett Kavanaugh.
Kesian juga melihat Kavanaugh di”grilled” (“panggang”) oleh para senator, kata beliau.
Kata Hanipa, ramalan mengatakan Kavanaugh mungkin akan mendapat undi pada nisbah 50-48.
“Maknanya 50 undi senator Republikan (parti Donald Trump) memihak kepada Kavanaugh.
“Semasa proses undi menamatkan perbahasan isu itu, nisbah undi adalah 51-49. 51 memihak republikan.
“Andaikata ramalan itu betul sekalipun, ia mungkin bukan berakhir di situ sahaja bagi Kavanaugh,” kata Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu dalam Facebooknya hari ini.
Katanya lagi, Republikan terpaksa bersetuju dengan suara teriakan untuk meminta FBI menjalankan siasatan dan dalam sekitar November ini, mungkin Dewan Senate dipenuhi oleh majoriti dari senator Demokrat.
Berkemungkinan juga katanya, akan ada ‘impeachment’ (pencabaran) ke atas Kavanaugh.
Hanipa berkata, beliau yakin Malaysia juga sedang menuju ke arah itu .
Pada waktu ini jelasnya, terdapat kekangan Perlembagaan dan tiada dua pertiga suara di Parlimen.
“Lihatlah nasib Akta Anti Fake News (Anti Berita Tidak Benar). Kita batalkan di Dewan Rakyat. Di Dewan Negara, Barisan Nasional (BN) masih kacau,” katanya.