Sistem Confirm A, platform kejayaan murid Dun Sungai Ramal

Sistem Confirm A, platform kejayaan murid Dun Sungai Ramal
Mazwan Johar bersama pelajar cemerlang di Majlis Kecemerlangan Akademik Dun Sungai Ramal

Sistem Confirm A dilihat sebagai platform untuk dimanfaatkan oleh seluruh murid di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Ramal, yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, pihaknya telah menjalinkan usahasama dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang membangunkan sistem berkenaan dan terbuktinya ianya berjaya.

Beliau berkata, sistem itu terbukti berjaya apabila diaplikasikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3 dan Jalan 4 Bandar Baru Bangi, sekali gus sistem tersebut dibawa ke peringkat kebangsaan.

Katanya, sistem Confirm A ini dimulakan dengan peperiksaan UPSR terlebih dahulu, supaya dapat dimanfaatkan oleh murid-murid yang berada dalam kawasan Dun Sungai Ramal.

“Ketika itu, Uniten bagitahu saya untuk membuat sistem ini secara menyeluruh, mereka perlu menaik taraf sistem tersebut dan ia memerlukan dana. Jadi, saya sumbangkan dana kepada pihak Uniten menerusi peruntukan saya.

“Sebagai timbal-balas daripada hanya memberikannya kepada pelajar B40 sahaja, pihak Uniten bersetuju untuk memberikan sistem itu kepada semua murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR dalam Dun Sungai Ramal.

“Hasilnya pula kita akan lihat pada hujung tahun ini apabila keputusan UPSR dikeluarkan. Jika terbukti ada peningkatan mendadak (positif) dan memberangsangkan di peringkat Dun Sungai Ramal, itu petandanya ia berjaya dan insyaAllah kita akan pergiatkan lagi program ini pada masa hadapan.

“Sistem ini dibuat dalam bentuk yang menarik iaitu latih tubi secara dalam talian. Hasil daripada latih tubi (menjawab soalan) itu, ia akan dianalisa oleh guru pembimbing dalam mengenal pasti kelemahan murid atau pelajar tersebut, seterusnya membaiki kelemahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline pada Majlis Kecemerlangan Akademik Dun Sungai Ramal, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Ramal, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Ishak Abdullah.

Mengulas lanjut mengenai majlis yang diadakan di RHR Hotel, Kajang itu, Mazwan berkata, ia diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada murid UPSR dan pelajar SPM yang mencatatkan keputusan paling cemerlang dalam Dun Sungai Ramal.

“Hari ini kita ada 11 murid (UPSR), dan enam pelajar (SPM) yang diberikan pengiktirafan bertujuan menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk melakukan yang lebih baik selepas ini, selain menjadi perangsang kejayaan kepada murid-murid lain.

“Selain itu, majlis ini diadakan sebagai platform antara saya, pihak PPD Hulu Langat dan juga sekolah untuk menunjukkan kepada mereka yeng pihak Adun memang berminat membantu sekolah dan PPD menaikkan lagi prestasi pembelajaran anak-anak dan membantu apa yang patut dalam kawasan Dun Sungai Ramal ini,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar cemerlang SPM dari SMK Bandar Baru Bangi, Muhammad Farid Samsukamal, 18, menzahirkan rasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan kepada beliau.

“Alhamdulillah, hari ini ada pihak yang memberikan pengiktirafan di atas kejayaan saya. Saya akan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya yang memperoleh 11A dalam SPM tahun lalu.

Bagi D Pushpanathan, 43, bapa kepada pelajar cemerlang UPSR, P Kiruthika yang kini melanjutkan pelajaran di MRSM Balik Pulau, menzahirkan rasa gembira dengan pengiktirafan tersebut.

“Saya rasa bangga anak saya dapat 8A. Saya dan ibunya, K Bhuvaneswary turut membantu anak kami dalam proses pembelajarannya.

“Macam saya, suka subjek Matematik, manakala isteri mengajar anak tentang Bahasa Tamil dan Inggeris. Kami saling membantu antara satu sama lain,” katanya.