Malaysia Dateline

Sistem dibina kerajaan sendiri punca Melayu miskin tanah

Sistem yang dibina oleh kerajaan sendiri mengakibatkan banyak tanah milik orang Melayu terpaksa dijual seperti dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin.

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan Tun Mahathir berkaitan penjualan banyak tanah milik orang Melayu memberi gambaran realiti bangsa yang sebenarnya akibat daripada sistem diwujudkan kerajaan itu.

“Aset tanah Melayu bertukar dari tapak untuk membangun peradaban menjadi komoditi untuk dijual beli.

“Siapa yang mewujudkan sistem Torrens untuk menjadikan tanah Melayu sebagai komoditi?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Tun Mahathir ketika sidang media Program Aku Melayu di Kuala Lumpur berkata, Malaysia dianggap bukan lagi milik Bumiputera apabila bangsa Melayu masih lagi dibelenggu dengan isu kemiskinan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, situasi tersebut dapat dilihat apabila banyak tanah milik orang Melayu terpaksa dijual akibat isu kemiskinan.

Untuk rekod, Mahathir, 97, menjadi Perdana Menteri dua kali dengan kali pertama pada 16 Julai 1981 dalam tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun sebelum meletak jawatan pada 31 Oktober 2003.

Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 10 Mei 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, kerajaan diterajuinya hanya bertahan 22 bulan ekoran tindakan Mahathir sendiri yang ketika itu Pengerusi Bersatu dan Pengerusi PH menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi yang mesra dipanggil Cikgu Azmi menegaskan bangsa Melayu dan tanah ketika dahulu adalah berpisah tiada.

“Sikap Melayu disebut sebagai Setanah. Namun, apabila tanah ditukar menjadi aset untuk jual beli, Melayu sendiri yang menjual tanah kepada bukan Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kemiskinan yang disebut Tun Mahathir itu berpunca daripada sikap komersialisasi dan sistem kapitalis yang diwujudkan oleh kerajaan sendiri.

“Miskin tanah berlaku apabila Melayu ghairah menjual tanah,” katanya.

Sehubungan itu, Cikgu Azmi yang juga Presiden Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM) menyeru supaya bangsa Melayu untuk kembali menguruskan aset dengan bijak.