Malaysia Dateline

Sistem EMR: KKM cadang perluas ke semua hospital dan klinik secara berfasa

Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) telah dilaksanakan di 35 hospital daripada keseluruhan 145 hospital kerajaan dan juga di 118 buah klinik daripada keseluruhan 1,703 klinik kerajaan, maklum Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu berkata, kesemua pusat rawatan itu menggunakan pelbagai produk Hospital Information System (HIS) dan juga Clinical Information System (CIS).

Secara keseluruhannya beliau memberitahu, 25 peratus hospital kerajaan dan 7 peratus klinik kerajaan telah melaksanakan Sistem EMR berkenaan dan pihaknya kini sedang merancang secara strategik memperluaskan sistem itu ke semua hospital dan klinik secara berfasa berdasarkan ketersediaan peruntukan.

“KKM juga sedang dalam proses menilai cadangan dari lebih 60 syarikat selepas aktiviti ‘Open Day EMR’ bagi mendapatkan input membangun dan melaksanakan sistem berkenaan di semua hospital dan klinik seluruh negara dalam masa 3 hingga 5 tahun akan datang.

“Mengenai sistem EMR ini, sebenarnya saya bercita-cita untuk melaksanakannya di seluruh pusat perubatan bukan sahaja awam, malah pusat perubatan swasta,”katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, di Dewan Rakyat, hari ini.

Jee Keen (PH-Selayang) meminta perincian sejauh manakah perkembangan pelaksanaan Sistem EMR di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara.

Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor)  berkata, kelebihan sistem EMR itu adalah maklumat kesihatan yang berkaitan dapat dicapai oleh mana-mana klinik atau hospital untuk tujuan rawatan dengan mengambil kira keperluan kerahsiaan maklumat pesakit.

“Ia akan secara langsung meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan lebih cepat dan berkesan tanpa menjejaskan kerahsiaan maklumat itu sendiri,” jelasnya.