Sistem imigresen kritikal, Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, kata MP DAP

Sistem imigresen kritikal, Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, kata MP DAP

Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menangani masalah kritikal melibatkan sistem imigresen negara, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Beliau berkata, sistem berkomputer MyIMMS yang telah disabotaj bagi membolehkan kemasukan pendatang secara haram ke Malaysia, satu lagi sistem imigresen, Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) juga berpotensi untuk disabotaj bagi membolehkan kira-kira 718,000 warga asing memasuki negara ini pada tahun 2013.

Katanya, rakyat tidak lagi boleh bergantung kepada mana-mana pasukan petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan sistem itu di negara ini.

Jelasnya, masalah imigresen di Malaysia adalah sangat serius dengan menyaksikan dua hingga tiga juta pendatang tanpa izin berada di negara ini, sehingga diberi penilaian buruk dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Oleh itu, saya dengan rendah hati akan menulis surat kepada Istana untuk meminta jasa baik Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan dalam masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Steven sebelum ini mendedahkan bagaimana sistem dalam talian, MyEG telah melanggar undang-undang imigresen apabila secara haram memperbaharui permit hampir 9,000 pekerja asing pada tahun 2013 dan 2014.

“Semua sistem ini disediakan oleh kontraktor swasta yang memperoleh kontrak tanpa sebarang tender terbuka,” ujarnya.

Steven SimMalah menurut Steven lagi, kerajaan rupa-rupanya telah menganugerahkan kontrak melaksanakan sistem naik taraf keseluruhan yang dinamakan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) kepada Prestariang Sdn Bhd pada November tahun lalu.

“Melalui kontrak ini, Prestariang menyertai sebuah kumpulan eksklusif dan menguntungkan segelintir kontraktor swasta yang membekalkan perkhidmatan utama kepada Jabatan Imigresen.

“Masalah utama kumpulan ini ialah, kontrak bernilai jutaan ringgit diberi tanpa tender terbuka kepada syarikat yang kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah,” jelasnya.

Steven berkata, prestasi lemah semua sistem yang dilaksanakan sebelum ini berpunca daripada pelbagai pelanggaran undang-undang imigresen sedia ada.

“Kebanyakan syarikat mempunyai peranan bertindih, sebahagian pula hanya melaksanakan kerja sebagai ‘orang tengah’ sementara mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit,” ujarnya.

Dakwa beliau lagi, projek berhubung sistem imigresen di negara ini telah diberi kepada vendor-vendor berbeza, seolah-olah untuk memberi ganjaran kepada setiap kroni sehingga menyebabkan sistem integrasi menjadi semakin teruk.

“Perkara itu diakui oleh kontraktor MyIMMS, HeiTech Padu sendiri,” katanya.