Malaysia Dateline

Stadium Shah Alam sesak

‘Sistem jualan tiket final Malaysia-Thailand tidak adil’

Kaedah jualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Malaysia-Thailand didakwa tidak mesra penyokong dan mengabaikan penyokong di luar Lembah Klang apabila tidak dijual secara dalam talian.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, rata-rata penyokong pasukan bola sepak bukan berada di sekitar kawasan Lembah Klang sahaja tetapi juga di negeri-negeri lain.

“Penjualan tiket di kaunter sahaja menyukarkan penyokong tegar pasukan bola sepak negara kita yang datang dari seluruh pelusuk tanah air.

“Bagaimana penyokong dari Johor, Sabah atau Perlis? Jualan tiket pada hari isnin, satu hari sebelum permainan akhir.

“Kita mungkin lupa bahawa hari isnin adalah hari bekerja dan masa jualan yang bermula pada waktu pagi tidak begitu memudahkan kebanyakkan penyokong pasukan harimau muda yang berkerja.

“Saya sendiri merupakan salah seorang dari golongan ini. Walaupun berjaya meninggalkan pejabat awal, sampai sekarang tiket masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjualan tiket tergendala tengah hari tadi berikutan rempuhan dekat kaunter tiket di Stadium Shah Alam.Keadaan diburukkan lagi apabila Kaunter Tiket B juga terpaksa ditutup berikutan berlaku kesesakan teruk.

Difahamkan, peminat bola sepak negara sudah berada di luar stadium sejak 10 malam tadi.

Saddiq juga berkata, sistem beratur di kaunter menyukarkan warga OKU dan warga emas apabila masa beratur lebih kurang empat hingga tujuh jam untuk mendapatkan tiket.

Menafikan dakwaan segelintir pihak di media sosial bahawa kemungkinan sistem ini diwujudkan untuk mengesan ulat tiket, beliau berkata, sistem pembelian dalam talian jauh lebih baik.

“Contoh, dengan sistem tebus tiket selepas kemukakan kad pengenalan akan lebih berkesan dalam menghalang ulat tiket.

“Sistem ini sudah dilaksanakan di banyak perlawanan peringkat antarabangsa.

“Sistem pembahagian antara jualan langsung di kaunter dan jualan dalam talian seperti di perlawanan FIFA dan England Premier League juga boleh membantu menghalang ulat tiket dalam talian serta yang berada di sekitar kawasan stadium,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, ulat tiket lebih bermaharajalela jika semua tiket dijual di kaunter.

“Lebih sukar untuk orang biasa beli tiket, lebih banyak profit mereka boleh dapat bila jual tiket yang diperolehi mereka.

“Banyak ulat tiket dah mula jual pada harag tiga hingga lima kali ganda lagi mahal dari harga yang sudah pun ditetapkan.

“Ini boleh dikawal jika ada sistem dalam talian yang telus. Sebelum ini pun, setiap transaksi dalam talian hanya boleh dapat lima hingga 10 tiket, bersertakan unit kad pengenalan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kritikan ini dipandang positif kerana beliau tidak berniat untuk menjatuhakn sesiapa.

“Saya harap cadangan saya ini dapat diperhalusi oleh pihak yang bertanggungjawab.

Inilah masa untuk kita semua #BangkitBersama. Walaupun ini merupakan satu kritikan, kritikan ini bukan berniat untuk menjatuhkan sesiapa,” katanya.