Malaysia Dateline

Sistem KLIS DBKL untuk permohonan berskala kecil kediaman

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Kuala Lumpur Integrated Submission System (KLIS) untuk semua permohonan berskala kecil kediaman.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata semua kelulusan mengenai Perintah Pembangunan, Pelan Bangunan dan Pelan Kejuruteraan juga diproses melalui KLIS.

“KLIS bercirikan ‘online submission’, ‘online processing’, ‘online payment’, ‘digital signature’, ‘self monitoring’ dan ‘paperless’ yang juga ‘mobile friendly’ yang membolehkan permohonan dibuat tanpa had masa dan di mana sahaja.

“Selain menjimatkan masa, ia juga dapat mengelakkan orang tengah dan ‘cash by hand’ serta mengurangkan pengeluaran karbon kerana dianggarkan 1,318,540 helai kertas A4 setahun dapat dihapuskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 dan KLIS hari ini.

Beliau berkata KLIS juga akan diperluaskan kepada semua jenis permohonan, termasuk permohonan pembelian rumah Pangsapuri Rakyat (PPR) pada masa depan.

Nor Hisham berkata sistem ini juga merupakan satu daripada 245 program di bawah Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030.

Selain itu, semua permohonan dan kelulusan untuk perniagaan Bazar Ramadan juga akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya mulai tahun ini, katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 telah menggariskan 10 tindakan, 37 sub-tindakan, 82 langkah dan 245 program untuk kesejahteraan bandar dan pembangunan mapan tanpa pencemaran alam.

Beliau berkata antara tindakan pelan itu adalah ‘Green Growth’, ‘Green Mobility’, ‘Low Carbon Green Building’, ‘Sustainable Waste Management’ dan ‘Green Urban Governance’.

“Ia penting bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan secara tidak langsung akan meningkatkan pelaburan dalam aset alam sekitar, teknologi dan produksi hijau untuk ibu kota,” katanya. – BERNAMA