Malaysia Dateline

Sistem konsesi di Johor bunuh kontraktor muda

Isu konsesi yang berlaku di Johor kini menjadi hangat apabila kontraktor muda pula kini bersuara menyatakan pandangan mereka.

Menurut seoarang kontraktor G1 muda yang dikenali sebagai Awang, 33 berkata tindakan memilih konsesi sebagai pengurus projek di Johor dilihat sebagai satu langkah zalim.

Katanya, sistem pemberian pengurusan kerja-kerja penyelenggaraan dan jalan yang diberikan kepada konsesi adalah bertujuan untuk membunuh kontraktor muda.

“Sistem ini perlu dihapuskan bagi memberi peluang kepada kontraktor kecil dan muda seperti kami untuk mencari peluang kerja.

“Apa yang berlaku hari ini peranan konsesi itu dilihat lebih terkedepan dalam mengurus kerja-kerja selenggara dan jalanraya yang ada.

“Kami mahu kerajaan menghapuskan sistem tersebut sekiranya diteruskan kami semua (kontraktor muda) akan mati,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu seorang lagi kontraktor muda, yang dikenali sebagai Zaini, 22, mahu membawa perkara tersebut ke peringkat yang lebih jauh.

Tambahnya, perkara itu akan dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan pemilihan kontraktor konsesi tersebut.

“Kita akan membawa perkara ini ke peringkat laporan polis dan SPRM bagi mendakwa keadaan ini yang diragui mengandungi unsur-unsur rasuah.

“Kita juga mempersoalkan bagaimana pemilihan konsesi ini dibuat, adakah cara tender terbuka, prestasi kerja kontraktor atau secara ‘direct nego’ atau rundingan terus?

“Kita telah susun beberapa langkah untuk membawa perkara tersebut ke peringkat seterusnya dan ini adalah kehendak kebanyakan kontraktor di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Kontraktor Johor menbantah cadangan Kerajaan Negeri melalui UPEN untuk menswastakan kerja-kerja MARRIS Negeri Johor.

Jika cadangan ini dilaksanakan akan mengakibatkan lebih 3000 kontraktor G1, G2, G3 dan G4 akan terjejas teruk sehingga mengakibatkan sehingga 50% kontraktor akan gulung tikar.