Malaysia Dateline

Sistem LHDN tergendala, guna e-Tunai Rakyat salur BPN

Pakatan Harapan (PH) hari ini mengulangi pendirian bahawa bersedia memainkan peranan dalam menjalankan usaha bipartisan demi memerangi krisis Covid-19 yang berlaku ketika ini.

Majlis Setiausaha PH berkata, persediaan itu adalah daripada segi membantu memberi idea dan pelaksanaan program, bertujuan memastikan mereka yang benar-benar memerlukan, menerima bantuan dalam jangka waktu sepatutnya.

Sehubungan itu, PH sekali lagi menyeru Kementerian Kewangan (MOF) agar mempertimbangkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN), terutama yang melibatkan golongan M40, melalui sistem e-Tunai Rakyat.

“Tidak seperti golongan B40, kerajaan mempunyai pangkalan data Bantuan Sara Hidup yang sedia ada, manakala kerajaan tiada pangkalan data untuk penerima yang dikategorikan sebagai penerima M40.

“Akan tetapi, MOF telah mengambil keputusan untuk membuat bayaran wang tersebut ke akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masing-masing.

“Inilah sebab utama sistem permohonan melalui LHDN tergendala dan terpaksa menjalani proses penyelenggaraan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hari ini, LHDN telah mengumumkan bahawa sistem permohonan EZHasil, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Nasional ditutup buat sementara waktu.

Kenyataan Majlis Setiausaha PH itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua.

Oleh yang demikian, Majlis Setiausaha PH berharap agar pihak MOF akan dapat mempertimbangkan semula kaedah pembayaran BPN tersebut.

“Kami berharap MOF akan memikirkan semula kaedah pembayaran dengan meneruskan formula yang telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh kerajaan sebelum ini, iaitu menerusi program e-Tunai Rakyat yang disertai lebih 8 juta orang.

“Memandangkan penerima e-Tunai Rakyat telah melalui proses verifikasi bagi mereka yang mempunyai pendapatan boleh dicukai kurang RM100,000 setahun, ia mudah bagi kerajaan memastikan RM1,000 itu sampai kepada individu disasarkan dalam masa sepatutnya.

“Kerajaan hanya perlu mengasingkan mereka yang sudah layak menerima bantuan BSH. Dengan menggunakan skim e-Tunai Rakyat, rakyat tidak perlu melalui proses pentadbiran yang melecehkan, untuk mendaftar dan mendapat pengesahan untuk layak menerima bantuan RM1,000 tersebut,” katanya lagi.