Malaysia Dateline

Sistem pemerhati dalam Parlimen gambarkan MP tak boleh dipercayai

Tindakan Speaker Dewan Rakyat memperkenalkan mekanisma baru untuk menjalankan undi belah bahagi supaya kesilapan pengiraan tidak berulang, seolah-olah mengisytihar Ahli Parlimen di Malaysia tidak boleh dipercayai untuk melaksanakan tugas yang mudah.

Ini ekoran keputusan Datuk Azhar Azizan Harun yang memutuskan untuk memperkenalkan pemerhati dari pihak lawan bagi setiap penghitung undi bagi manambahbaik pengiraan undi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, tindakan tersebut tidak menjadikannya lebih baik tetapi sebaliknya telah menghantar mesej yang terbalik terhadap Ahli-ahli Parlimen.

“Mekanisme tersebut menggambarkan Ahli Parlimen tidak boleh diharap pada tugas yang mudah dan yang lebih serius, bahawa Ahli Parlimen tidak boleh dipercayai sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang juga mendakwa langkah diperkenalkan itu hanya untuk mengelakkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya dirujuk je Jawatankuasa Khas Parlimen susulan kecuaiannya ketika menjalankan tugas sebagai penghitung undi.

Beliau berkata, Parlimen berhutang kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan mengapa Shabudin masih menjadi penghitung undi, walhal Ahli Parlimen Umno itu terbukti tidak mampu dan tidak boleh dipercayai untuk menjalankan tugas.

“Shabudin seharusnya dipecat sebagai penghitung undi dalam pemungutan suara di Parlimen. Tetapi ini tidak dilakukan.

“Saya menyeru agar sistem pemerhati dihapuskan dan kembali kepada sistem lama. Shabudin juga harus dilucutkan dari kedudukannya sebagai wakil untuk pemilihan bahagian,” katanya lagi.

Pada semalam, pengundian belah bahagi bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) telah dilaksanakan mengikut mekanisme baru dengan pihak lawan menjadi pemerhati kepada setiap penghitung undi.