Sistem pemilihan AMANAH tak sama sistem cai Pas

Sistem pemilihan AMANAH tak sama sistem cai Pas

Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Fadzil Ahmad menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara sistem ‘cai’ yang bakal diperkenalkan dalam pemilihan Pemuda AMANAH berbanding dengan sistem cai Pas.

Beliau berkata, sistem cai di zaman Pas dahulu dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tertutup yang berbeza dengan sistem cai Pemuda AMANAH yang dilakukan secara terbuka.

“Saya amat memahami kekhuatiran dan kegelisahan abang-abang di peringkat AMANAH Nasional tentang pengenalan ‘cai’ di kalangan Pemuda AMANAH.

“Bezanya adalah, ‘cai’ semasa di zaman Pas dahulu dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tertutup. Manakala ‘cai’ di zaman Pemuda AMANAH hari ini dibuat secara terbuka dan tiada sedikitpun hasrat mahu sembunyikan gerakan kami!

“Bahkan kami bangga mempunyai barisan Pemuda yang sedia bersaing secara sihat atas dasar sayang dan kasih kepada parti. Demi melihat parti terus relevan di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebahagian besar dari kalangan Pemuda AMANAH hari ini pernah merasai perit dan pedihnya peristiwa gugur setandan akibat ‘cai’ suatu masa dahulu.

Justeru katanya, kesan perit dan pedih itulah permulaan kepada inisiatif mereka memperkenalkan agenda berpasukan di kalangan Pemuda.

“Malah kami memperkenalkan senarai Pemuda yang menawarkan khidmat kerja berpasukan ini seawal tiga bulan sebelum tarikh pemilihan berlaku.

“Tempoh yang kami rasa sesuai dan munasabah kepada pemuda-pemuda di seluruh negara untuk semak dan menilai kelayakan setiap seorang calon satu persatu.

“Andai dirasakan salah seorang dari kami malah jika saya sendiri dinilai tidak layak diberi undi, maka kami sedia ditolak dan memberi laluan kepada rakan pemuda yang lain. Tiada paksaan memilih senarai yang ada bahkan senarai ini dinamik sifatnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut,Fadzil  berkata, cai yang membibitkan perpecahan dan permusuhan adalah cai yang dibuat secara tertutup dan tersembunyi.

Sebaliknya, beliau berkata, ‘cai’ dalam Pemuda AMANAH hari ini adalah senarai yang segar dan tidak perlu di sembunyikan lagi pasukan untuk turun ke bawah memperkenalkan tawaran baharu untuk memimpin Pemuda di masa hadapan.

“Mustahaknya, tiada salahguna kedudukan untuk buat kerja parti demi kepentingan peribadi mahupun pasukan ‘cai’nya!

Malah jika perkataan ‘cai’ itu begitu sensitif dan geli, tak perlu gunakan lagi perkataan ‘cai’ itu kerana ‘cai’ di zaman Pas dahulu langsung tidak sama dengan apa yang berlaku dalam Pemuda AMANAH hari ini,” katanya.