AMANAH wajib perkasakan sistem pengurusan pentadbiran parti

AMANAH wajib perkasakan sistem pengurusan pentadbiran parti

ULASAN: Pengurusan merupakan satu perkara yang amat penting dalam mentadbir sesebuah organisasi. Begitu jugalah dengan sebuah parti politik, sistem pengurusan yang terbaik dan sistematik sudah tentu dapat menjadikan sesebuah parti politik itu parti yang hebat dan parti yang mempunyai masa depan. Oleh kerana itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu mempraktikkan sistem pengurusan yang terbaik dan terkini yang terbukti mampu untuk menjadikan AMANAH sebagai parti masa depan.

Pada pandangan saya, antara aspek pengurusan yang paling penting adalah kepimpinan sesuatu parti politik itu perlulah mempunyai corak kepimpinan dengan wawasan dan hala tuju yang jelas yang mana ianya mampu diikuti oleh ahli-ahlinya. Oleh sebab itu, dalam sistem pengurusan kualiti organisasi, kepimpinan yang tertinggi mesti mampu membawa parti dan ahli-ahlinya ke suatu tahap yang terbaik untuk bersaing dengan para kompetitor di luar sana.

Antara perkara yang mesti diterapkan dalam pengurusan AMANAH adalah menetapkan KPI atau target yang mesti dicapai dalam tempoh masa tertentu. KPI atau target itu mestilah mempunyai angka dan nilai supaya ianya boleh diperiksa sama ada KPI itu berjaya dilaksanakan atau tidak. Setelah KPI itu ditetapkan atau diperolehi maka sesebuah organisasi parti itu perlulah menjalankan program-program dan aktiviti untuk mencapai target dan KPI yang telah ditetapkan. Adalah menjadi biasa bahawa KPI itu diletakkan dengan jangka masa setahun. Program-program yang akan dilaksanakan itu mestilah program yang bersifat menjurus kepada pencapaian KPI. Sebagai contoh jika sekiranya kita meletakkan KPI untuk mendapatkan ahli seramai 1000 orang pada tahun 2020 maka sudah tentulah program-program yang dijalankan pada tahun 2020 mestilah aktiviti yang menjurus kepada penambahan ahli-ahli yang baru.

KPI itu mestilah di nilai dan diverifikasi, contohnya dalam masa 6 bulan seperti bulan Jun 2020 nanti dinilai, sama ada pencapaian selama enam bulan itu berada di atas “landasan” dengan KPI yang ditetapkan selama setahun itu. Hal ini umpamanya, jika dinilai jumlah ahli yang diperolehi pada bulan Jun ini didapati mendapat 500 orang jumlah keahlian maka boleh dinilai aktiviti serta program yang dilaksanakan dalam enam bulan itu berjaya menghasilkan ahli baru dan boleh dikatakan ianya berada di atas landasan mengikut KPI yang diinginkan. Tetapi jika contohnya jumlah keahlian itu kurang daripada 500 orang dalam setengah tahun itu, ini bermakna boleh dikatakan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang setengah tahun itu kurang berjaya daripada KPI yang ditetapkan, maka jawatankuasa di peringkat yang terlibat itu perlulah mencari semula kaedah baru dengan mewujudkan program aktiviti lain dengan kadar segera bagi menjayakan KPI untuk mendapatkan jumlah keahlian seramai 1000 orang di penghujung tahun itu nanti.

Perkara ini menunjukkan bahawa KPI mahupun program yang dilakukan itu mestilah dinilai bagi memastikan ianya sentiasa berada di atas landasan tepat. Saya juga ingin memberikan beberapa contoh untuk diberikan perhatian oleh parti AMANAH ini sama ada diperingkat cawangan, kawasan atau negeri hatta di peringkat nasional sekalipun, contoh-contoh KPI yang wajar ditetapkan bagi memberikan panduan supaya kita ini menguruskan parti dalam sistem pengurusan yang berobjektif agar segala yang kita laksanakan ada objektifnya bukanlah mengurus parti ini mengikut kehendak rasa tanpa tujuan yang jelas seperti KPI dan juga tidak mahu dilihat sekadat berada di awang-awangan semata-mata.

Saya melihat contoh pertama KPI yang boleh dilaksanakan dipelbagai peringkat pengurusan parti adalah sasaran jumlah keahlian parti tahunan seperti yang saya sebutkan di awal tadi dengan penilaian awal di pertengahan tahun sama ada perkembangan semasa itu nanti dilihat berada selari dengan target KPI atau tidak . Selain itu, perkara lain yang boleh dijadikan KPI di peringkat kawasan adalah jumlah bilangan cawangan yang diluluskan dengan contohnya pada tahun 2020 ini kawasan ingin menubuhkan 20 cawangan maka mereka peulah mengatur gerak kerja yang bertepatan dengan perancangan untuk menubuhkan sebanyak 20 cawangan baru itu. Ketiganya, perkara yang juga boleh dijadikan indikator kejayaan di sesuatu peringkat parti adalah jumlah dana yang terkumpul di dalam kewangan parti, sebagai contohnya jika sesuatu kawasan itu meletakkan target untuk mengumpulkan dana sebanyak RM100 000 pada tahun 2020 ini maka sudah tentu perancangan aktiviti dan program perlulah dibuat ke arah penambahan kadar kewangan seperti program makan malam, program-program perniagaan, program-program pemasaran, perniagaan atas talian mahupun program kutipan sumbangan “tin milo” seperti dahulu yang mana hal berkaitan dana ini merupakan satu aspek yang amat penting dalam menggerakkan organisasi maka ianya perlu diambil berat.

Seterusnya, contoh lain juga adalah ketetapan KPI untuk setiap biro di dalam parti dengan setiap biro ini ada ketua dan perlu ada jawatankuasa kecilnya agar setiap biro ini melaksanakan peranannya dengan bersasar. Biro ini juga diberikan tanggungjawab untuk menjalankan minima 3 program sebagai KPI untuk biro-biro tersebut.

Selain itu, KPI di peringkat sayap-sayap parti juga perlu ditetapkan agar segala yang direncana dan dilaksanakan oleh sayap juga selari dengan yang dilaksanakan di peringkat-peringkat lain. Yang penting KPI itu mestilah mempunyai nilai angka supaya kita dapat mudah menilai KPI itu berjaya dilaksanakan atau tidak. Sesuatu KPI itu juga perlu mempunyai jangka masa tertentu untuk dicapai sasarannya supaya mudah kita menyusun atur gerak kerja dan aktiviti yang ingin dilakukan dengan menetapkan garis masa serta dinilai keberhasilannya program tersebut nanti.

Seterusnya dalam aspek pengurusan parti kita AMANAH ini yang ingin saya cadangkan adalah setiap peringkat dari nasional ke negeri, kawasan dan cawangan, mestilah mempunyai SOP atau manual pengurusan organisasi walaupun secara ringkas. SOP/manual yang paling asas adalah deskripsi tugas (job description) masing-masing. Hal ini kerana, jika dilihat bahawa kadang kala ada individu yang dipilih atau dilantik memegang jawatan terutama individu yang baru terlibat dengan parti tidak tahu tugas masing-masing seperti ketua cawangan, AJK cawangan dan AJK kawasan secara jelas.

Maka sudah sampai masanya parti ini untuk membangunkan sistem pengurusan parti secara sistematik dengan mengadakan manual pengurusan atau Standard Operating Procedure (SOP) kepada kepimpinan di pelbagai peringkat sebagai rujukan dan panduan tugas-tugas yang mereka perlu lakukan. Saya yakin ini antara perkara penting yang perlu dilaksanakan dalam pengurusan organisasi parti bagi menjadikan Parti Amanah Negara ini sebagai sebuah parti yang pengurusannya efisyen dan benar-benar progresif

* Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka.