Sistem pentadbiran Malaysia di salahguna Najib, kata Mahathir

Sistem pentadbiran Malaysia di salahguna Najib, kata Mahathir

Sistem pentadbiran Malaysia telah disalahgunakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menggunakan kuasanya untuk merompak negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sistem itu mungkin sama tetapi pemimpin itu berbeza, sistem berkenaan digunakan oleh lima perdana menteri sebelum ini dan tiada pertuduhan rasuah berskala itu terhadap kesemua empat pemimpin tersebut.

“Tetapi sistem itu disalahgunakan. Apa yang dilakukannya ialah menggunakan kuasa untuk mencuri wang,” kata Dr Mahathir pada program Hardtalk BBC semasa wawancara di London. Program selama 20 minit itu disiarkan semalam, lapor Bernama..

Bercakap kepada peneraju program berkenaan, Zeinab Badawi, perdana menteri berkata terserah pada mahkamah untuk memutuskan pertuduhan terhadap Najib.

Najib kini berdepan 21 pertuduhan, dengan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion, dan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Pada Ogos lepas, Najib menghadapi empat pertuduhan berkaitan salahguna kuasa dan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

“Kini cukup bagi kami mengenakan pertuduhan terhadap beliau dan terpulang kepada mahkamah menentukan sama ada bukti kami betul atau penafiannya betul,” kata Dr Mahathir.

Semasa wawancara itu, Zeinab mengajukan beberapa soalan berat mengenai keputusannya kembali memegang jawatan perdana menteri dan bekerja dengan parti pembangkang ketika itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas dan hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan afirmatif, memerangi rasuah dan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berada di United Kingdom untuk lawatan kerja siri kedua dari 29 September hingga 1 Oktober, selepas menghadiri sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Lawatan kerja siri pertama ke United Kingdom berlangsung dari 21 hingga 25 September.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata kerugian berbilion ringgit semasa kali pertama beliau memegang jawatan perdana menteri, adalah disebabkan perdagangan mata wang asing pada masa itu.

“Pada masa itu, mereka tidak membuktikan saya mengambil sebarang wang, tetapi kami kehilangan wang kerana beberapa orang kita terlibat dengan perdagangan mata wang dan mereka mengalami kerugian, ” katanya

Kepada soalan yang beliau membawa masuk ‘pemimpin lama’ dalam pentadbirannya, perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata beliau memerlukan mereka yang berpengalaman bagi membantu beliau mentadbir negara.

“…jadi, jika saya tidak dapat membawa masuk mereka yang pernah berkhidmat dengan saya, maka saya harus bergantung kepada mereka yang tiada pengalaman. Mereka yang bekerja dengan saya, mereka ini mempunyai pendapat yang sama tentang kerajaan Najib.

“Jadi, mereka mahu bergabung, membentuk pakatan dan menumbangkan Najib,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Anwar, perdana menteri berkata mereka berdua sudah melupakan masa lalu.

“Saya perlu bekerjasama dengan beliau (Anwar) untuk menumbangkan Najib sebagai perdana menteri, jadi kami berdua memutuskan untuk melupakan masa lalu kerana perkara itu jauh lebih penting untuk diberikan tumpuan dan tidak lebih dari itu,” katanya.

Dr Mahathir mengulangi janjinya bahawa Anwar akan menjadi penggantinya.

Mengenai tindakan afirmatif, Dr Mahathir berkata kerajaan baharu akan meneruskan tindakan tersebut bagi membetulkan jurang ketara dari segi kekayaan antara orang Melayu dan kaum lain.

Beliau berkata ketegangan mungkin berlaku di Malaysia jika jurang itu menjadi semakin ketara.

Mengenai dakwaan berlakunya diskriminasi terhadap kumpulan etnik lain disebabkan dasar itu, Dr Mahathir berkata: “Tidak, tiada diskriminasi kerana jika anda berkunjung ke Malaysia, anda akan dapati mereka yang dikatakan menjadi mangsa terhadap dasar itu kini adalah orang-orang terkaya di Malaysia”.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS