Malaysia Dateline

Sistem penyampaian institusi agama ketinggalan, menyusahkan

Menjadi satu perkara lumrah dalam kehidupan manusia untuk sentiasa mencari dan mendapatkan keadilan dalam apa jua urusan atau tindakan.

Malah, keadilan menjadi paksi kepada keutuhan masyarakat dan merupakan asas berfungsinya masyarakat itu sendiri. Islam pula meletakkan keadilan sebagai nilai yang utama dalam hubungan antara manusia dan alam seluruhnya.

Namun, apabila kita berbicara tentang keadilan ia pastinya menimbulkan pelbagai rungutan dan perbincangan apabila dikaitkan dengan institusi-institusi Islam seperti jabatan agama dan mahkamah syariah yang beroperasi dalam negara kita.

Pengalaman yang dilalui pelbagai pihak terutama mereka yang mempunyai hajat menyelesaikan isu-isu rumahtangga atau yang berkaitan dengan proses perkahwinan menunjukkan betapa banyak kelemahan yang terus diwarisi sejak sekian lama dengan tidak menampakkan apa-apa penambahbaikan kepada struktur, sistem dan kaedah perjalanan institusi-institusi ini.

Pendek kata, masalah sistem penyampaian masih ketinggalan pada institusi-institusi tersebut. Kesannya, masyarakat Islam terpaksa menanggung kerugian masa, tenaga dan wang ketika berurusan dengan institusi-institusi ini.

Bagi saya kelemahan asas institusi-institusi “agama” seperti jabatan-jabatan agama dan mahkamah syariah bukan semata-mata terletak kepada keperluan menegakkan keadilan tetapi sistem penyampaiannya yang usang dan tidak semasa dalam menghadapi isu-isu umat Islam yang semakin bertambah.

Sesiapa pun yang pernah berurusan dengan jabatan agama misalnya akan mendapati banyak perkara yang boleh diperbaiki bagi memberikan khidmat yang baik kepada orang ramai.

Malah, memberikan khidmat yang efisien, cepat dan profesional adalah tuntutan nilai agama yang penting kerana dengan cara itulah keadilan dapat ditegakkan.

Pimpinan tertinggi

Kelembapan dalam urusan, ketiadaan profesionalisme dan keprihatinan yang kurang kepada pelbagai isu dan masalah yang dibawa ke jabatan-jabatan agama menjadikan ia sebagai titik hitam dalam urusan umat. Sekaligus menafikan keadilan yang sepatutnya menjadi prinsip panduan kepada segala kerja yang dilakukan.

Ada banyak cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi keadaan ini tetapi asasnya terletak kepada kemahuan pimpinan tertinggi agama untuk membuat perubahan atau transformasi menyeluruh kepada sistem penyampaian agar ia mencerminkan pengurusan terbaik selari dengan perkembangan masa kini.
Sudah tentu keperluan terdesak kini ialah bagi pengurusan jabatan-jabatan ini ditransformasi secara menyeluruh agar sentiasa semasa dengan keadaan.

Aneh juga dalam keadaan penggunaan teknologi digital yang meluas jabatan-jabatan agama masih bergantung kepada pelbagai jenis borang fizikal bagi pelbagai urusan.

Dalam zaman di mana semua urusan boleh dibuat secara atas talian, masih perlu membuat salinan borang yang sebelumnya telah diisi atas talian dan dibawa ke jabatan untuk urusan seterusnya.

Ketidakcekapan juga terserlah apabila seseorang pelanggan yang datang ke jabatan agama terpaksa berulang-alik beberapa kali disebabkan “borang tidak lengkap”, “ada borang lain yang perlu diisi”, “ada prosedur yang belum dibuat” dan berbagai-bagai lagi “urusan” yang perlu dilakukan.

Seolah-olah senarai semak yang lengkap tidak menjadi keutamaan dalam urusan. Terdapat kes juga di mana pelanggan ke mahkamah mendapati kesnya ditunda disebabkan hakim yang terlibat telah ditukarkan ke mahkamah lain. Perkara seperti ini cukup menyerlahkan sikap, nilai dan keutamaan bagi institusi tersebut.

Harus diingat pelanggan yang datang bukan semuanya mempunyai kemudahan atau kemampuan berulang-alik dari rumah ke jabatan yang boleh menelan kos yang banyak. Faktor ini rasanya tidak menjadi perkiraan kepada jabatan agama atau mahkamah.

Itulah sebabnya kita menyatakan sistem pengurusan di institusi-institusi tersebut masih di tahap lama dan ketinggalan zaman. Sekiranya urusan seseorang pelanggan tidak dapat diselesaikan dalam sekali perjumpaan, bermakna institusi ini tidak layak dilebel sebagai “institusi Islam”.

Sukarkah untuk membangunkan pangkalan data dan sistem permohonan bagi segala urusan yang berkait dengan jabatan dan yang timbul dalam kalangan umat Islam?

Pihak-pihak seperti imam dan jurunikah juga tidak dilatih untuk menggunakan kemudahan teknologi bagi urusan berkaitan dengan masalah rumahtangga. Dan ini menyumbang kepada kelambatan dalam proses menyelesaikan sesuatu isu keluarga Muslim.

Ketika berurusan di jabatan agama sudah tentu pelbagai isu dibawa oleh para pelanggannya. Dan isu-isu yang dibawa itu sudah tentu bukan unik kepada seorang sahaja pengadu tetapi ramai yang lain dan mungkin juga berulang di masa-masa akan datang.

Persiapan bagi menangani keadaan ini nampaknya langsung tidak ada. Apakah pegawai di jabatan agama peduli tentang setiap satu masalah atau isu yang dibawa oleh pelanggan jabatan?

Adakah terdapat direktori yang menyimpan data masalah dan isu yang boleh dianalisis buat membangunkan sistem yang lebih cekap bagi memberi khidmat kepada umat Islam?

Kenapakah teknologi terkini tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam sistem penyampaian jabatan-jabatan agama dan mahkamah syariah? Apakah prosiding dan keputusan kes mahkamah syariah boleh diakases dengan mudah dalam laman-laman yang dibangunkan oleh agensi pelaksana ini?

Mungkin jabatan agama perlu merekrut lebih ramai pakar teknologi IT yang boleh berperanan lebih cekap dan mempercepatkan proses dalam jabatan ini.
Sering kita mendengar bagaimana orang ramai terpaksa perlu ke jabatan agama beberapa kali selang beberapa minggu atau bulan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Jarang kita mendengar masalah seperti ini berlaku andaikata seseorang mempunyai masalah dengan syarikat telekomunikasinya berhubung isu liputan atau kos perkhidmatan.

Tidak dapatkah sistem penyampaian seperti di syarikat swasta atau sesetengah jabatan kerajaan yang jauh lebih cekap dijadikan tanda aras (benchmark) bagi menjalankan urusan?

Rencana ini tidak pun menyentuh tentang satu lagi isu besar yang dihadapi pelanggan mahkamah syariah iaitu kes-kes penceraian dan kesan kepada wanita yang diceraikan.

Banyak tulisan lain sudah pun membicarakan perkara ini bukan sahaja dari segi kelewatan menyelesaikannya – yang sudah tentu amat tidak adil kepada mereka yang terbabit – malah keputusan yang dikatakan tidak mesra wanita.

Apapun tanpa mempunyai sistem yang cekap dan semasa sesuai dengan organisasi abad ke 21 ini, institusi-institusi Islam seperti jabatan agama dan mahkamah syariah akan terus dilihat sebagai gagal memenuhi kehendak masyarakat dan lebih-lebih lagi kehendak Islam sendiri yang menekankan aspek keadilan sebagai terasnya.

Dan keadilan juga perlu dilihat secara luas merangkumi aspek memberi perkhidmatan kepada umat Islam. Kelambatan, ketidakcekapan, sistem yang usang dan sebagainya tidak boleh wujud dalam pemberian khidmat kepada orang ramai.

Dapatkah institusi-institusi ini bangkit menyahut cabaran?

 

*DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM merupakan bekas Prof Madya di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.