Sistem Rekod Perubatan Elektronik bantu atasi masalah kesesakan di kaunter

Sistem Rekod Perubatan Elektronik bantu atasi masalah kesesakan di kaunter

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad optimis akan dapat melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bagi menangani masalah kesesakan pesakit sekiranya peruntukan lebih besar disalurkan kepada kementeriannya.

Beliau berkata, sistem EMR tersebut akan menjadikan segalanya dalam bentuk digital seperti menyusun jadual temu janji dan juga cara mengendalikan pesakit itu sendiri.

Katanya, dengan pelaksanaan sistem EMR, secara langsung pihaknya akan dapat mengatasi isu kesesakan pesakit yang sering didengari  sebelum ini.

“Saya juga mengambil langkah-langkah untuk mewujudkan pendekatan lain seperti memulakan ‘The Virtual Clinic’ iaitu menggunakan kesihatan digital (digital health) menerusi penggunaan aplikasi telefon bimbit Internet of Things (IoT).

“Kita boleh menggunakannya di telefon bimbit untuk menangani masalah menunggu yang lama dan juga mengatasi kesesakan di pusat rawatan. Ini adalah langkah-langkah yang ke depan yang kita ambil.

“Dengan cara ‘Virtual Clinic’, sebahagian proses telah dapat dilakukan dan pesakit boleh terus datang berjumpa doktor sekali gus menjimatkan waktu. Kita atasi semua masalah tersebut dengan cara digital,” katanya dalam rancangan temu bual Soal Rakyat TV3, malam tadi.

Dr Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH mengulas demikian sebagai respon kepada soalan hos, yang menanyakan tentang isu orang ramai perlu menunggu lama di klinik kesihatan atau pun hospital kerajaan ketika ingin mendapatkan rawatan.

Rancangan selama satu jam bertajuk ‘Bersama Menteri Kesihatan Malaysia’ itu dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Fiza Sabjahan.