Sistem tetapan harga minyak mingguan beri manfaat kepada rakyat

Sistem tetapan harga minyak mingguan beri manfaat kepada rakyat

Sistem penetapan harga minyak secara mingguan yang diusahakan kerajaan bermula tengah malam tadi merupakan langkah yang sangat baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) Dr Rosli Yaakop berkata, usaha kerajaan ini membuatkan rakyat tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menikmati penurunan harga minyak.

“Apabila kerajaan turunkan harga minyak, rakyat lebih cepat dapat manfaat iaitu dalam seminggu sahaja, mereka tidak perlu menunggu terlalu lama sebagaimana mana sebelum ini ianya ditetapkan sebulan sekali,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guang Eng dalam kenyataannya mengumumkan harga runcit petroleum diturunkan mulai 12 tengah malam tadi bagi tempoh seminggu bermula 5 Januari hingga 11 Januari 2019.

Bagi tempoh tersebut, harga runcit petrol RON97 diturunkan kepada RM2.23 seliter daripada RM2.50 seliter, manakala harga runcit petrol RON95 diturunkan kepada RM1.93 seliter daripada RM2.20 seliter dan diesel kepada RM2.04 daripada RM2.18 seliter.

Harga runcit petrol RON97 pula akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel akan diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Rosli yang juga bekas Penolong Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, sistem yang digunakan kerajaan ini tidak memberi bebanan kepada rakyat kerana kerajaan telah menetapkan harga maksimum petrol RM2.20 seliter walaupun harga minyak dunia terus melambung.

“Walaupun harga minyak naik banyak mana sekali pun, ia tidak boleh melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2.20. Tapi bila harga minyak turun lagi, rakyat boleh menikmati harga yang mungkin lebih rendah bawah daripada RM1.93 pada hari ini,” ujarnya.