Siswa lancar kempen tangkap ‘Malaysian Official 1’

Siswa lancar kempen tangkap ‘Malaysian Official 1’

#TangkapMO1  akan dimobilasi rakyat Malaysia pada 27 Ogos ini ddi Kuala Lumpur.

Sekumpulan mahasiswa melancarkan kempen _#TangkapMalaysianOfficial1 _ semalam ekoran kegagalan Perdana Menteri menyelesaikan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menyaksikan Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan senarai nama yang terlibat dalam pengkhianatan berbilion ringgit dana awam itu.

Mereka yang dikenali sebagai Gabungan _#TangkapMalaysianOfficial1_ ( _#TangkapMO1_ ) itu berkata, mobilisasi besar-besaran bagi tujuan berkenaan akan dilakukan dengan kemuncaknya pada 27 Ogos nanti.

Wakil gabungan mahasiswa berbilang kaum itu, Luqman Nul Haqim Zul Razali berkata, laporan DOJ baru-baru ini mengesahkan lagi kekhuatiran rakyat terhadap penyelewengan dana 1MDB apabila menyebut tentang_’Malaysia Official 1’_ selain anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.

“Sehingga hari ini, ketiga-tiga individu ini masih bebas malah tidak ada inisiatif bersungguh-sungguh daripada kerajaan Malaysia untuk bertindak ke atas mereka.

“Malah, kerajaan Malaysia juga masih enggan untuk mendedahkan siapa sebenarnya individu yang dinamakan sebagai _Malaysian Official 1_ yang dipercayai sebagai dalang utama disebalik penyelewengan wang rakyat ini,” tegasnya.

Dalam sidang media di Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM) itu, beliau berkata, mahasiswa dan anak muda akan menjalankan pelbagai program penerangan secara berkelompok dengan memfokuskan mahasiswa dan masyarakat luar Lembah Klang menjelang 27 Ogos ini.

“Kami juga mengalu-alukan pembabitan semua pihak tanpa mengira sempadan politik dan ideologi untuk bersama dengan kempen ini.

“Isu 1MDB bukan lagi rahsia dalaman negara, malah menjadi berita hangat di seluruh dunia.

“Anak muda tidak sanggup lagi menjadi bahan ketawa oleh masyarakat dunia apabila dilihat seolah-olah masih merelakan sekumpulan individu tidak bertanggungjawab terus merompak harta negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, rakyat Malaysia dibimbangi akan menerima kesan paling buruk jika kecurangan pengurusan dana awam itu berterusan.

“Lebih malang apabila anak muda yang mewakili 60 peratus daripada komposisi rakyat Malaysia akan terus berhadapan dengan ketidaktentuan masa depan.

“Anak muda terpaksa menanggung beban kos hidup yang terus meningkat dalam keadaan peluang kerjaya dan purata pendapatan di Malaysia masih terkebelakang,” jelasnya yang juga mahasiswa UM.

Sehubungan itu, Luqman menyeru supaya rakyat negara ini terutama anak muda bertindak dengan turun bersolidariti di ibu negara menjelang sambutan kemerdekaan itu.

“Inilah masanya untuk kita rayakan kemerdekaan dengan erti kata sebenar. Jika anak muda tidak bertindak hari ini, kita khuatir tiada lagi masa depan untuk generasi akan datang,” tegasnya lagi.

Mahasiswa lain yang turut menyertai sidang media menjelang tengah hari tadi ialah Anis Syafiqah, Nurul Aqilah, Gan Yu Lin, Chan Tau Chang dan Chew Chuan Yang.

Untuk rekod, _#TangkapMO1_ tersebut adalah susulan demonstrasi _#TangkapNajib_ di ibu negara yang juga digerakkan oleh gabungan pelbagai pertubuhan mahasiswa dan anak muda pada 1 Ogos tahun lalu.