Siswa perlu kempen tingkatkan undi orang muda bukan protes, rosakkan undi PRK

Siswa perlu kempen tingkatkan undi orang muda bukan protes, rosakkan undi PRK

Bukan undi protes patut dipromosi golongan siswa tetapi laksanakan gerakan untuk meningkatkan kesedaran golongan muda tentang kepentingan politik menjelang pilihan raya kecil (PRK) serentak, 18 Jun nanti.

Itu teguran Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar sebagai reaksi kepada kumpulan mahasiswa yang melancarkan kempen protes dan undi rosak sempena PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini.

Menurutnya, pelajar universiti harus mengenal pasti isu sosial dan ekonomi yang dihadapi anak muda sesuai dengan ciri mereka sebagai pemimpin masa depan.

“Apa yang kamu tuntut dari Ahli Parlimen Sungai Besar nanti? Kamu kena jumpa anak muda di sana. Berapa ramai yang ambil pil kuda, terbeban atau tidak dengan kenaikan kos sara hidup?

“Buat ceramah untuk anak muda pun boleh supaya kita boleh tukar situasi yang tak beri kelebihan menjadi situasi yang memberikan kelebihan,” ujarnya dalam forum “Tiga Penjuru: Pembangkang Rugi?” di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi.

Hisomudin yang juga bekas aktivis kampus itu berkata, pemimpin mahasiwa perlu berfikiran positif bagi memastikan suara mereka diberi perhatian oleh kerajaan mahupun parti pembangkang.

“Bagaimana untuk anak muda menuntut hak politik mereka kerana suara mereka tiada nilai di kaca mata pemerintah mahupun pembangkang. Kita tiada aksi yang menjentik atau memukul daripada yg mewakili suara anak muda ke atas mereka,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat gerakan positif berkenaan berupaya memberi sinar meyakinkan serta menyelamatkan ramai anak muda jika dilakukakan denga lebih baik termasuk bertemu dengan pemimpin dari semua parti politik.

“Polisi yang digubal kedua-dua (pemerintah dan pembangkang) tidak kena-mengena kepada anak muda. Ini kena ubah, gerakan kamu ini menuntut suara kamu didengari, kamu kena mintak, kamu kena ‘demand’. Jumpa pemimpin Amanah, buat kunjungan ke atas Khairy Jamaluddin,” tambah Hisomudin lagi.

Siswa ‘letih’ politik

Terdahulu, Koordinator Gerakan Mahasiswa Amarah (GeMA), Wafiuddin Rosli konsisten menyatakan pendirian mereka sejak 26 Mei lalu yang tidak tidak berpuas hati dengan realiti politik rejim BN mahupun Pakatan Harapan sejak akhir-akhir ini.

“Saya mewakili mahasiswa yang mengalami ‘fatigue syndrome’. Takkan rakyat nak terus tengok Azmin bergaduh, 1MDB (1Malaysia Development Berhad) tak habis-habis, kena selesaikan segera.

“Bila melihat suasana politik, ada pula Amanah bergaduh pula dengan Pas, tidak nampak agenda konstruktif,” ujarnya dalam forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) itu.

Wafiuddin yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, usaha bagi menggantikan kerajaan BN memerlukan blok pembangkang yang kukuh.

“Masalah utama sekarang ialah BN bobrok, nak tukar BN perlu ada pakatan pembangkang yang murni tapi Pakatan Harapan pun entah ada harapan atau tidak. Apa yang paling penting PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

“Minggu lepas kita ke Sungai Besar. Sebahagian kecil veteran Umno ditemui juga mengakui politik sekarang rosak. Tengok BN rosak, tengok pembangkang gaduh.

“Hari ini berapa ramai yang menyokong kami, kami bukan anti partisan, anti demokrasi, tapi kita mengangkat suara rakyat sebagai agenda umat,” tambahnya lagi sambil mengakui respon positif masyarakat setempat terhadap gerakan protes mereka termasuk dijamu dengan hidangan makanan.

TAGS