Siswazah menganggur teramai di era pentadbiran Najib

Siswazah menganggur teramai di era pentadbiran Najib

Ugutan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kepada syarikat senaraian awam supaya mengambil bahagian di dalam Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) tidak dapat menyembunyikan hakikat peningkatan kadar pengangguran di negara ini khususnya di kalangan siswazah.

 

 

Rafizi Ramli

Ugutan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak kepada syarikat senaraian awam supaya mengambil bahagian di dalam Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) tidak dapat menyembunyikan hakikat peningkatan kadar pengangguran di negara ini khususnya di kalangan siswazah.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, cubaan pentadbiran Najib mengugut syarikat-syarikat swasta untuk mengambil graduan yang menganggur melalui SL1M lebih bertujuan melepaskan tanggung jawab sendiri kerana statistik pasaran kerja menunjukkan lebih ramai graduan dan rakyat Malaysia kini menganggur.

“Perkara yang lebih penting ialah bagi beliau membetulkan pentadbiran ekonomi terlebih dahulu agar lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang setimpal dengan kelulusan dapat diwujudkan oleh ekonomi Malaysia,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan merujuk amaran Najib agar syarikat senaraian awam mengambil bahagian di dalam SLIM jika tidak mahu berdepan kesukaran mendapatkan kontrak besar kerajaan di masa akan datang.

SL1M adalah hasil projek 1Malaysia yang dilancarkan Najib untuk membantu graduan berijazah yang menganggur dengan menempatkan mereka di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui skim perantis dengan bayaran elaun sekitar RM1,500 sebulan.

Rafizi menambah, walaupun menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini, pentadbiran Najib perlu memberi tumpuan kepada sebab utama pengangguran berlaku.

“Program-program seperti SL1M yang dipasarkan oleh pasukan propaganda Datuk Seri Najib sebagai bukti keprihatian beliau dengan kesusahan golongan muda sebenarnya menyembunyikan hakikat sebenar pasaran pekerjaan di negara ini,” tegasnya.
 
Rafizi merujuk kepada statistik Jabatan Buruh di antara Mac 2013 hingga November 2016 yang menunjukkan angka pengangguran meningkat sebanyak 16% dari seramai 439,600 orang (Mac 2013) kepada 510,700 orang (November 2016).

“Statistik ini disiarkan setiap bulan dan adalah fakta yang paling kukuh bahawa rakyat biasa sedang mengalami kesusahan kerana semakin hari semakin ramai yang hilang pekerjaan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau menarik perhatian umum terhadap statistik pengangguran di kalangan graduan yang turut meningkat saban tahun seperti dilaporkan The Quality of Government Institute iaitu sebuah institut pemikir dari Sweden.

Institut ini, jelas beliau mengkaji pola pengangguran dan ekonomi di seluruh dunia termasuk pengangguran di kalangan graduan berijazah di Malaysia.

“Sejak institut tersebut mengumpulkan data pasaran dan pengangguran graduan Malaysia bermula tahun 1995, kadar pengangguran graduan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib adalah yang tertinggi berbanding di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, peratus penganggur berijazah daripada jumlah pengangguran keseluruhan adalah 29.8% bagi 2011, 27.3% (2012), 23.7% (2013) dan 28.8% (2014).

“Ini bermakna, bagi tahun 2014 (iaitu kali terakhir angka diterbitkan), dari setiap 10 orang penganggur, tiga orang mempunyai ijazah.

“Sudah tentu graduan di negara ini dibebankan lagi dengan kos pembiayaan pendidikan yang tinggi dan cara PTPTN menyenarai hitam peminjam yang menyebabkan mereka terkeluar dari sistem kewangan negara dan sukar mendapat pembiayaan lain,” ujarnya.

Rafizi turut memberi komitmen untuk memperjuangkan isu-isu bersabit peluang pekerjaan rakyat bagi memastikan masalah pengangguran yang semakin meruncing dapat ditangani segera.

TAGS