Sita rumah PPR Taman Manggis kerana langgar syarat, kata KM Pulau Pinang

Sita rumah PPR Taman Manggis kerana langgar syarat, kata KM Pulau Pinang

Tindakan kerajaan negeri menyita 22 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis semalam adalah kerana perlanggaran syarat yang telah ditetapkan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Penduduk yang terlibat berhimpun di bawah Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri di Komtar tsemalam.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ekoran tindakan penyitaan yang telah dilaksanakan.

Jelas beliau lagi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penduduk tidak lagi layak mendiami kediaman tersebut.

“Mana-mana penghuni yang mempunyai tunggakan kos penyewaan serta hilang kelayakan kerana melepasi paras pendapatan yang dibenarkan untuk menyewa.

“Selain itu mereka yang berkahwin dengan warga asing akan turut hilang kelayakan bagi mendiamni kediaman PPR tersebut.

“Konsep penyewaannya juga adalah hanya untuk tempoh lima tahun sahaja, ” ujarnya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan, Pengangkutan dan Komunikasi.

Menurut Chow lagi, kediaman PPR tersebut diuntukkan bagi mereka yang berpendapatan rendah serta golongan miskin sahaja.

“Bagi kes PPR Taman Manggis, setakat ini penyewa yang hanya sepatutnya tinggal dalam tempoh lima tahun sahaja masih mendiami kediaman tersebut.

“Manakala dalam tempoh lima tahun tersebut, penghuni terlibat diharapkan dapat meningkatkan taraf hidup serta sumber pendapatan mereka.

“Dengan ini ia akan membuka peluang kepada golongan tersebut untuk mendapatkan projek perumahan yang lebih baik atau membeli unit kediaman sendiri, ” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Adun Padang Kota turut berkata, kerajaan negeri akan mendengar rayuan betul dan sahih yang dikemukakan.

Namun begitu tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan tetap diteruskan walaupun adanya bantahan aman dari penduduk yang terlibat di perkarangan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri di Komtar tengahari tadi.

Dalam insiden tersebut, sebanyak 22 unit kediaman PPR Taman Manggis telah disita selepas notis pengosongan diserahkan pada 22 Oktober tahun lalu serta 22 Februari baru-baru ini.

Keadaan tegang di Flat Taman Manggis ketika tindakan penyitaan dilakukan oleh pihak berkuasa.