Siti Aishah pencinta ilmu yang diperalat, kata Raja Bahrin

Siti Aishah pencinta ilmu yang diperalat, kata Raja Bahrin

Siti Noor Aishah Atam yang dihukum penjara lima tahun kerana didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti IS adalah mangsa keadaan, kata ahli parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah.

Beliau berkata, Aishah ‘diperalatkan’ oleh pensyarah dan pelajar lain di universiti beliau untuk kepentingan peribadi mereka.

Raja Bahrin Shah “Ini patut menjadi iktibar pada pelajar muda di universiti untuk lebih berhati-hati oleh anasir yang bergiat di kampus yang boleh memangsakan dengan mengaitkan anak muda yang tidak tahu atau sedar implikasinya. Aishah adalah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Bahrin yang juga ketua Biro Antarabangsa Amanah berkata, Aishah merupakan contoh anak muda yang mencintai ilmu namun kerana mempunyai buku-buku yang dianggap salah, dia terperangkap dalam undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Penting diingatkan kepada orang umum supaya berhati-hati memiliki bahan bacaan yang boleh membawa kepada kesalahan yang serius. Dalam kes Aishah ini buku-buku yang meyebabkan beliau didapati bersalah tersebut sehingga hari ini masih boleh dibeli di mana-mana kedai buku.

“Itulah bahaya terhadap orang awam yang didedahkan ke atas mereka hari ini dengan undang-undang negara termasuk undang undang SOSMA, POCA dan POTA,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa terharu apabila Aishah yang berasal dari Dungun, Terengganu itu menyampaikan hasrat untuk belajar di dalam penjara sewaktu menjalani hukuman.

“Dalam menanti saat dijatuhkan hukuman di mahkamah, Aishah minta ayahnya memanggil saya untuk memberitahu saya beliau ingin memohon kebenaran belajar dalam penjara.

“Ini amat menyayat hati saya yang terasa begitu terharu. Saya berjanji kepada beliau untuk berusaha membolehkan beliau terus belajar. Inilah minda innocent anak muda Aishah,” katanya.

Hakim Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Siti Aishah menjalani hukuman tersebut dari hari dia ditahan dan mengarahkan kerajaan melupuskan serta mengharamkan 12 buku terbabit.

Sementara itu, peguam Siti Aishah, Kamaruzaman Abd Wahab meminta mahkamah mengurangkan hukuman ke atas anak guamnya memandangkan ini kesalahan pertamanya dan ia mungkin berpunca daripada pengaruh pensyarahnya.

“Ini kesalahan pertama dan Siti Aishah ada masa depan cerah. Beliau sudah insaf. Beliau beli buku ini sebab suka membaca sebelum diharamkan KDN (Kementerian Dalam Negeri).” katanya.