Siti Bainun turun 60KG, ini menu makanan di penjara Malaysia yang ramai tak tahu

Oleh WAN SITI AMINAH

Penampilan penghuni Penjara Kajang, Siti Bainun Ahd Razali telah berjaya mencuri tumpuan ramai khususnya di kalangan pengguna media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, bentuk badan pengasas Rumah Bonda yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam (Selasa) kelihatan sangat berbeza dan tampak semakin kurus.

Wanita berusia 31 tahun itu difahamkan mengalami penurunan berat badan kepada 90 kilogram (kg), berbanding 150 kg ketika dimasukkan ke penjara pada 3 Mei lalu.

Berjaya menurunkan berat badan sebanyak 60kg, orang ramai mula tertanya-tanya apakah makanan yang dihidangkan kepada Bainun selama enam bulan dipenjara.

Demi menjawab persoalan, berikut kami kongsikan menu makanan penghuni penjara termasuk Siti Bainun berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh bekas banduan.

Difahamkan, banduan akan dihidangkan makanan sebanyak lima kali sehari termasuk sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Walaupun makanan ini tidak semewah seperti di luar penjara, namun ia disediakan mengikut diet seimbang yang telah ditetapkan di mana lauk ikan dan ayam bersilih ganti.

Setiap hidangan ini juga akan dihidangkan dengan kuah sup beserta sejenis sayur sebagai contohnya seperti kangkung, kubis dan sebagainya secara bergilir-gilir.

Antara contoh hidangan lengkap yang dihidangkan kepada penghuni penjara di Malaysia

Namun begitu, mereka yang pernah menghuni penjara mendedahkan bahawa rasa hidangan tersebut kebiasaannya agak tawar berbanding makanan di luar.

Penghuni juga adakalanya turut dihidangkan dengan makanan ringan seperti biskut, sedikit roti dan tidak ketinggalan, potongan buah.

Hidangan makan minum ini disediakan sendiri oleh banduan di Unit Sajian Penjara yang setiap hari memasak berbagai jenis hidangan buat penghuni, lapor Berita Harian.

Banduan yang ditempatkan di unit ini perlu melalui banyak ujian sebelum dibenarkan memasak dan tidak boleh mempunyai kecacatan fizikal serta memiliki tahap kesihatan memuaskan.

Malah, mereka juga diberi suntikan Typhoid dan menjalani kursus penyediaan makanan untuk didedahkan dengan tatacara keselamatan makanan dan proses kerja di dapur bagi mengelakkan kes keracunan.

Sijil Penyediaan Makanan juga akan dikeluarkan sebelum diberikan kepada banduan apabila dibebaskan nanti supaya dapat digunakan untuk bekerja di kedai makan atau restoran.

Baca juga: Ramai terkejut tengok Siti Bainun, berat badan turun 60kg selepas 6 bulan dipenjara