Malaysia Dateline

Siti Fatihah sekolahkan Profesor Dr Kamarul Yusof

Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Siti Fatihah Salahuddin menyekolahkan Profesor Dr Kamarul Yusof apabila menjawab dakwaan penulis Pas itu bahawa Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dipengaruhi oleh pegawai lantikan politik.

Menurut Fatihah, yang merupakan seorang peguam, dakwaan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu amat lucu dan sanggup menjadi ‘puppet’ (anak patung) kepada parti politik tertentu.

“Alangkah lucunya. Saya tidak nampak apakah yang membawa kepada persoalan-persoalan bahawa YPDR tidak boleh bersifat adil, saksama dan menjaga integriti dalam membuat keputusan dengan adanya kewujudan pegawai-pegawai lantikan politik,” tulis Fatihah dalam facebook beliau ketika menjawab tuduhan dari Kamarul Yusof.

Bagi beliau, Mohamad Ariff mempunyai pengalaman yang amat luas untuk dipengaruhi oleh pegawai lantikan politik di bawah beliau yang hanya berumur antara 20an hingga 30an sahaja.

Kamarul dalam tulisannya mempertikaikan kenyataan Mohamad Ariff bahawa beliau membuat keputusan yang adil dan saksama ketika memutuskan untuk menerima usul yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membahaskan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin..

“Adakah keputusan yang dibuat oleh Tan Sri bersifat adil dan saksama bila Tan Sri masih lagi menjadi ahli AMANAH walaupun meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin serta Ahli Majlis Penasihat Pakar AMANAH?” soal Kamarul kepada Mohamad Ariff.

Beliau juga memberikan alasan Mohamad Ariff dipengaruhi oleh pegawai lantikan politik iaitu Pegawai Tugas-tugasnya Wan Anwar Wan Ibrahim adalah peguam AMANAH dan Setiausaha Sulitnya, Fatihah, adalah anak Timbalan Presiden AMANAH.

Bagi Fatihah, lantikan politik bukanlah sesuatu amalan yang baru dalam perjawatan-perjawatan penting sama ada di peringkat eksekutif mahupun legislatif.

“Bayangkanlah apa yang terjadi kepada negara sekiranya kesemua keputusan-keputusan penting dibuat oleh menteri-menteri dan speaker selama ini dipengaruhi oleh pegawai-pegawai lantikan politik.

“Tidakkah anda setuju bahawa tuduhan sebegini mencerminkan orang bawahan lebih berkuasa dan bijaksana daripada menteri-menteri dan speaker?

“Seolah-olah menunjukkan menteri-menteri dan speaker ini tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam bidang yang diamanahkan sehingga amat mudah untuk dipengaruhi?” kata Fatihah kepada Kamarul.

Menurut Fatihah, Mohamad Ariff berumur 71 tahun dan mempunyai pengalaman serta pengetahuan yang amat luas sebagai seorang peguam, ahli akademik, Hakim Mahkamah Tinggi, Member of the Judicial Academy, member of Advisory Board, Companies Commision Malaysia Training Academy, member of Rating Review Committee (RRC), Malaysian Rating Agency, Director of KL Options and Future Exchanges, Director of Market Supervision Division, Securities Commission Malaysia dan Hakim Mahkamah Rayuan.

“Mempunyai pengalaman yang amat luas dan kepakaran sebegini pun dipersoalkan keputusan dan sifat integriti beliau dipengaruhi oleh pegawai lantikan politik yang berumur 20-an dan 30-an yang tidak mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan sehebat beliau,” kata Fatihah.