Siti Hasmah sambut ulang tahun kelahiran ke-93 dengan gesekan biola amal

Siti Hasmah sambut ulang tahun kelahiran ke-93 dengan gesekan biola amal

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-93 semalam dengan alunan gesekan biolanya untuk acara amal pada Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM).

Kelunakan gesekan biolanya membawa lagu ‘Secret Garden – The Things You Are To Me’, ‘Gubahanku’ dan ‘Terkenang-kenang’ memukau kira-kira 450 tetamu semasa persembahan yang berlangsung 15 minit di dataran Multimedia University (MMU) di sini.

Sebelum mempersembahkan lagu keroncong ‘Terkenang-kenang’ Tun Dr Siti Hasmah berkata: “Ini adalah sebuah lagu lama dan sepanjang masa yang dinyanyikan oleh Kartina Dahari. Saya mainkannya dengan sepenuh hati.”

Selepas persembahannya, sebuah kek dipersembahkan kepada beliau dan semua hadirin mengalunkan lagu ‘Happy Birthday’ kepada beliau.

Semasa majlis itu, Dr Siti Hasmah juga melancarkan Dana Anugerah Pengetahuan YUM, satu platform bagi mendapatkan lebih banyak lagi dana anugerah daripada individu dermawan dan pertubuhan korporat.

Semasa ucapannya, Dr Siti Hasmah yang hampir menitiskan air mata dengan sambutan sebegitu rupa berkata, beliau terasa dihormati dan terharu dengan para dermawan pada majlis amal YUM ini.

Mengimbau kembali saat-saat menjadi canselor MMU yang pertama selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012, Dr Siti Hasmah berkata: “Semasa pertama kali dipilih sebagai canselor pertama, saya agak terperanjat kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai Teknologi Maklumat (IT). Malahan saya tidak faham mengenai IT dan dijadikan pula sebagai canselor.”

Beliau berkata, kini para pelajar di MMU diambil bekerja ‘di mana-mana di seluruh dunia’ dan mereka adalah ‘permata dunia’.

“Setiap kali ke luar negara akan ada seseorang yang menghampiri dan berkata, Tun, saya dari MMU,” katanya.

Sambil menasihati komuniti MMU agar terus bekerja kuat tanpa mengenal penat, beliau secara berjenaka berkata: ‘umur bersara ialah 95 tahun’.

Semasa majlis itu, penyanyi Adibah Noor turut mengalunkan lagu ‘Wind Beneath My Wings’ yang juga lagu kegemaran Dr Siti Hasmah.

Adibah juga memuji Dr Siti Hasmah kerana sanggup hadir beberapa jam semalam untuk latihan bagi majlis hari ini.

“Ia suatu sifat yang amat terpuji kerana bukan ramai artis sanggup datang latihan. Ini adalah satu contoh baik kepada penghibur yang lain,” katanya lagi.

Menerusi Dana Anugerah Pengetahuan YUM yang dilancarkan oleh Dr Siti Hasmah, orang ramai boleh membuat sumbangan dan derma yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik di MMU.

Menurut kenyataan MMU yang diedarkan semasa majlis itu, YUM telah membantu hampir 4,000 pelajar dari kumpulan B40 sejak ia didaftarkan pada 2009.