Siti Kasim ajak lebih ramai Melayu tolak usul Hadi

Siti Kasim ajak lebih ramai Melayu tolak usul Hadi

Aktivis dan peguam Siti Kasim mengajak masyarakat Melayu menyuarakan bantahan terhadap usul persendirian Rang Undang-undang (RUU) 355 yang sebelum ini dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita perlu lebih ramai orang Melayu untuk datang dan berkata ‘tidak’. Kamu tidak akan bercakap bagi pihak saya dan bukan dengan nama saya. Ini undang-undang Hadi,” tegasnya ketika berpidato di himpunan di Taman Jaya, Petaling Jaya petang semalam.

Pada masa sama, ujarnya, golongan bukan Islam juga perlu bersuara memandangkan cadangan bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100,000 denda itu merupakan isu negara ini.

“Jika kamu warganegara Malaysia, kamu perlu melibatkan diri kerana kita bercakap tentang negara kita, bukan negara Hadi.

“Ini negara kita semua, bukan negara Hadi,” bidasnya lagi yang tidak putus-putus menerima sorakan dan tepukan pendengar.

Di hadapan peserta himpunan berbilang kaum selain orang kulit putih, Siti turut melahirkan isi hatinya yang tidak menyenangi pendekatan serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Antara ungkapan pada kain rentang dan plakad yang dipegang kumpulan terbabit adalah “Islam aman dan maju bukan dendam dan kejam” dan #TakNakUsul355.

Plakad berlatarbelakangkan logo Umno dengan tertera “Jangan benarkan mereka menggunakan agama untuk mainan politik” juga dilihat dipegang individu berketurunan Tionghoa.