Malaysia Dateline

Siti Mariah bersikap terbuka selepas tersingkir dari AMANAH Puchong

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud bersikap terbuka selepas dirinya gagal menempatkan diri dalam kalangan 15 calon anggota Jawatankuasa (AJK) dalam pemilihan AMANAH kawasan Puchong.

Beliau yang pernah nyaris tersingkir pada pemilihan September lalu, gagal memperoleh undi terbanyak pada pemilihan kedua selepas AMANAH Puchong serta lebih 80 kawasan lain perlu mengadakan semula pemilihan parti atas sebab teknikal.

“Bagi saya, kerja saya banyak. Kalau saya duduk dalam tu (tersenarai dalam AMANAH Puchong) pun mungkin saya tak dapat beri tumpuan.

“Apa pun saya bersyukur kerana ada hikmahnya,” kata ADUN Seri Serdang berkenaan.

Dalam masa sama, keputusan pemilihan minggu lalu, menurutnya jelas memperlihatkan kawasan itu sememangnya hanya mahukan calon tempatan.

“Memang pihak AMANAH kawasan Puchong mereka berpendapat bahawa untuk mengendalikan AMANAH kawasan itu hanya orang Puchong.

“Anak jati Puchong sahaja yang layak. Jadi, saya okay sahaja. Tak ada rasa kecewa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan Didik AnIS dan Bantuan Khas AnIS, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAS), hari ini.

Terdahulu, memetik laporan media, beliau menyifatkan tersenarainya beliau dalam keputusan pemilihan September lalu pasti akan mengundang kritikan dan penghinaan pihak tertentu kerana beliau akan dituduh tidak diterima oleh anggota AMANAH Puchong.

Mariah turut menyedari perkara itu daripada awal dan mengakui kemasukkannya di Puchong ditentang habis-habisan.

Sementara itu, beliau memberitahu sayap AWAN juga masih pada fasa sedang mengadakan semula Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka.

Beliau mengakui terdapat cabaran mengadakan semula mesyuarat oleh kerana ia memberi peluang kedua kepada pemimpin-pemimpin yang tewas dalam pemilihan di peringkat kawasan masing-masing.

“Kita sedang mengadakan semula mesyuarat tahunan. Kita terpaksa buat semula mengikut perlembagaan. Ada tempat-tempat yang ada masalah dan cabarannya.

“Bila kita dalam politik, rencam itu ada. Walaupun AMANAH adalah satu parti yang baru berdiri, tiba-tiba kita jadi kerajaan, perlumbaan untuk mendapat jawatan adalah hebat.

“Bila kita buat mesyuarat semula, mana yang dah menang tak naklah buat mesyuarat semula. Mana yang kalah, sukalah. Jadi, itulah cabaran kita dalam politik.

“Saya ingin berpesan kepada ahli AMANAH, nawaitu kita kena betul. Fikir semula kenapa kita bergiat dalam politik. Kalau kita nak berkhidmat kepada rakyat, dan berjasa kepada Ummah, kita tak semestinya pegang jawatan,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH dilapor dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 81 yang terbatal membabitkan AGM peringkat kawasan, manakala 32 AGM bagi AWAN dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

Dr Siti Mariah dalam Majlis Serahan Didik AnIS dan Bantuan Khas AnIS di Shah Alam hari ini.