Malaysia Dateline

Siti Nurhaliza gamatkan stadium nyanyi iringi kehadiran Tun Mahathir

Ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Malawati Shah Alam jam 11.10 pagi diiringi dendangan lagu ‘Anak Kecil Main Api’ oleh penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Persembahan penyanyi nombor satu itu dilihat menggamatkan perhimpunan mega sempena Kongres Maruah Melayu sejurus selesai lima pembentangan mengikut kluster budaya, pendidikan, ekonomi, agama dan politik.

Siti Nurhaliza mendendangkan lagu yang umum dikaitkan dengan Umno itu secara langsung sebanyak dua kali.

Nama besar dalam bidang seni tanah air yang turut terlibat sempena kongres juga ialah penulis lirik Habsah Hassan.

Beliau bertanggungjawab mencipta seni kata bagi lagu rasmi kongres, “Sumpah Anak Watan” yang dicipta oleh Jari.

Kongres hari ini dihadiri pemimpin dan ahli parti majoritinya Bersatu, Umno dan Pas serta ahli-ahli akademik dan penuntut daripada beberapa universiti awam.

Turut hadir Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Selain orang Melayu, komuniti Orang Asli juga dilihat hadir dalam kongres anjuran bersama empat universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).