Siti Nurhaliza keguguran mohon masa berehat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memohon izin
daripada peminat-peminatnya untuk berehat seketika sebelum mula
bekerja seperti biasa selepas kandungannya yang berusia dua bulan
gugur.

Berita sedih itu dikongsi Siti di laman Instagramnya pagi tadi
sekaligus menjawab spekulasi mengenai kandungannya yang berlegar dalam
kalangan peminatnya.

Siti, 36 yang mendirikan rumah tangga dengan Datuk Sri Khalid Mohamad
Jiwa, pada 21 Ogos 2006 juga meminta kawan-kawan dan
peminat-peminatnya terus mendoakan kebaikan untuknya.

“Buat sahabat-sahabat saya iaitu peminat dan followers saya, teruskan
doa yang baik-baik ye. Mana tahu dalam berjuta , ada yang makbul
doanya. Siti pun mendoakan agar Allah SWT kurniakan anugerah terbaik
buat anda tak kiralah dalam apa bentuk yang anda inginkan.

“Sekian catatan panjang lebar dari saya dan semoga semuanya sudah
jelas. Buat masa ini, izinkan Siti untuk berehat sebelum mula bekerja
seperti biasa. Terima Kasih Allah,” kata Siti.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, penyanyi yang mula terkenal
dengan lagu Jerat Percintaan itu tetap reda dengan takdir Allah ke
atasnya.

“Siti reda dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT beri
Siti jawapan di atas doa Siti.

“InshaAllah semoga ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya. Terima
kasih suami, keluarga dan sahabat yang memberi kata semangat dan
peminat yang sentiasa mendoakan Siti. Siti yakin pada perancang
terbaik dalam hidup Siti iaitu Allah SWT,” katanya lagi.

Siti juga memaklumkan, beliau kini dalam proses berpantang sebelum
menjalani rutin seperti biasa.

“Selepas habis proses berpantang ini Siti akan menjalani kegiatan
seperti biasa, kena masuk Gym balik dan beberapa acara di Jakarta,”
ujarnya.

Setakat berita ini ditulis, perkongsian Siti ini mendapat hampir 4,000
komen daripada peminatnya, rata-rata memberikan kata-kata semangat dan
mendoakan kesihatannya.

 

TAGS