Siti Nurhaliza tak sabar nak merenjis, menyanyi di majlis kahwin Amira Othman-Fattah Amin?

Oleh WAN SITI AMINAH

Keserasian dan kemesraan antara pelakon terkenal, Fattah Amin bersama penyanyi iaitu Amira Othman sering kali menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial kebelakangan ini.

Setiap interaksi yang dilakukan oleh kedua-dua selebriti itu begitu mencuri perhatian orang ramai terutamanya di kalangan peminat yang memberikan sokongan seakan-akan ‘merestui’ hubungan mereka.

Terbaharu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikhabarkan telah mengatakan kesudiannya untuk menyanyi di majlis perkahwinan Amira sekiranya pelantun lagu Hati-Hati itu mendirikan rumah tangga.

Perkara itu sudah tentulah menimbulkan satu persoalan dalam kalangan peminat mereka berdua mengenai lelaki yang bakal dipilih oleh Amira untuk dijadikan suami sama ada Fattah atau sebaliknya.

Difahamkan, segalanya bermula apabila Amira ditemani oleh adiknya iaitu Irfan Haris yang juga seorang penyanyi untuk melakukan satu sesi siaran langsung bersama Fattah di platform TikTok.

Sesi siaran langsung tersebut kemudian disertai oleh Siti Nurhaliza yang disambut dengan begitu teruja oleh Amira sebelum wanita itu berkongsikan hasratnya untuk datang beraya di rumah Biduanita Negara terbabit.

Penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai TokTi atau Mak Iti itu kemudian secara berseloroh menjemput Amira untuk beraya di kediamannya dengan membawa bakal suami jika tiada pasangan.

Situasi itu kemudian membuatkan Fattah yang digelarkan sebagai ‘Abang Long’ oleh adik Amira malah tersipu-sipu malu dan kemerahan pipi sebelum mahu mengakhirkan sesi siaran langsung tersebut.

Amira bagaimanapun tidak bersetuju untuk menamatkan siaran langsung tersebut sebagai tanda hormat berikutan masih ditonton oleh Siti Nurhaliza selain begitu meminati penyanyi berkenaan.

Suasana malah menjadi semakin meriah selepas Amira secara tiba-tiba bertanya sekiranya pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin itu sudi menyumbangkan lagu di majlis perkahwinannya kelak.

“Tak sabar nak merenjis, Insya-Allah boleh (bernyanyi di majlis perkahwinan Amira),” jawab Biduanita Negara berusia 47 tahun itu di ruangan komen sesi siaran langsung tersebut.

Siaran langsung yang ditonton oleh 40,000 pelayar TikTok di kedua-dua akaun itu sempat dirakam sebelum dikongsi semula menerusi satu hantaran video berdurasi lima minit 13 saat di platform sama oleh salah seorang penonton.

Tinjauan di ruangan komen sesi siaran langsung tersebut mendapati rata-rata pengguna berharap agar pengantin lelaki yang bakal bersanding bersama Amira dalam majlis tersebut adalah Fattah.

Baca juga: Netizen terpegun lihat rakaman pekerja cuci puncak KLCC