Malaysia Dateline

Siti Nurhaliza ‘tawan’ Twitter selepas masuk senarai ke-27 penyanyi di dunia terima paling banyak anugerah

Penyanyi yang mula belajar lenggok lagu tradisional Melayu sejak berusia 12 tahun kini juga usahawan dengan jenamanya sendiri, SimplySiti.

Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi topik perbualan hangat di media sosial pagi ini gara-gara tersenarai sebagai penyanyi ke-27 di dunia paling banyak menerima anugerah.

Nama penyanyi disayangi ramai itu muncul sohor kini di Twitter negara ini dengan rata-rata warganet memberi reaksi positif dan berbangga dengan pencapaian beliau dalam Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time.

Sejak menceburi bidang nyanyian pada tahun 1995, Siti, 43, dicatatkan telah merangkul sebanyak 329 anugerah sama ada di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa.

Kedudukan diperoleh Siti itu sekali gus meninggalkan beberapa senarai penyanyi terkenal lain seperti Celine Dion di tangga ke-33, Alicia Keys (38) dan Christina Aguilera (44).

Pencapaian penyanyi yang juga dikenali sebagai pelantun lagu-lagu berirama asli Melayu itu juga mengundang kebanggaan rakyat Malaysia.

Siti Nurhaliza

“Apabila saya lihat Siti Nurhaliza dalam senarai untuk kali pertama, saya seperti… Benarkah?!

“Alangkah bangga menjadi rakyat Malaysia, dan seorang Sitizoner (kelab peminat Siti) mempunyai legenda berbilang bakat ini.

“Datuk Seri Siti Nurhaliza! Anda akan sentiasa menjadi #1 dalam hati kami,” kata Amirul Darwin di Twitter.

Puncak populariti dinikmati Siti sepanjang dekad 2000-an menyaksikan dominasi kejuaraannya dalam banyak program anugerah muzik yang dianjurkan hingga beliau digelar Ratu Pop Malaysia dan Ratu Pop Asia.

Sejak usianya 23 tahun lagi, nama Siti terpahat di pentas muzik antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Voice of Asia apabila menggondol Grand Prix Champion pada pertandingan nyanyian Voice of Asia di Kazakhstan pada 2002.

Penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh yang dikenali dengan imej rendah diri dan sopan itu juga meraih banyak pengiktirafan hingga pernah tersenarai sebagai 100 individu paling berpengaruh dalam dunia digital di Asia.

Pemilik kepada 49 album pelbagai kategori dan 94 single itu juga sebanyak tiga kali tersenarai antara 500 Wanita Muslim Paling Berpengaruh.

Siti bahkan pernah melakar sejarah sebagai penyanyi pertama dari Asia Tenggara dan ketiga dari Asia yang mengadakan konsert secara solo pada tahun 2005 di Royal Albert Hall, London dengan iringan Orkestra Simfoni London.

Siti Nurhaliza

Baca juga: https://malaysiadateline.com/menteri-agama-hanya-singgah-kata-siti-nurhaliza/

Baca juga: https://themalaysialife.com/tok-imam-keliru-nak-nikahkan-pasangan-sebab-nama-ayah-sama/