Siti Nurhaliza terharu, Kak Lina Pom Pom ‘diam-diam’ derma RM10,000 untuk Palestin

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza merasa amat terharu apabila menerima pesanan mesej daripada pengacara terkenal, Elly Mazlein.

Mana tidaknya, pengacara yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom itu meluahkan hasrat untuk mendermakan wang tunai RM10,000 pada rakyat Palestin.

Difahamkan, Elly mahu menyalurkan sumbangan berkenaan menerusi badan amal yang diusahakan Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa yang sedang giat membantu rakyat Palestin itu tampil sebagai wakil untuk mengutip dana menerusi badan amalnya, Yayasan Nurjiwa.

Berkongsi rasa terharu, Siti Nurhaliza turut memuat naik tangkap layar pesanan secara terus (direct message) daripada Elly itu menerusi Instagramstory’ miliknya.

“Assalamualaikum TokTi nombor syatuuu. Pom macam nak bagi sumbangan duit. Tetapi tidak banyak, RM10,000 untuk Palestin,” tulis Elly menerusi tangkap layar itu.

Sebagai tanda penghargaan kerana Elly sanggup membantu saudara Islam di Gaza, Siti menitipkan doa agar pengacara sensasi berkenaan dimurahkan rezeki.

“Syukur Alhamdulillah, terharu bila rakan artis @iamellymazlein sudi menyumbang untuk Gaza. Semoga bertambah murah rezeki Kak Iti doakan.” Katanya menerusi hantaran sama.

Selain Elly, antara rakan artis yang turut memberikan bantuan menerusi badan amal yang diusahakan Siti adalah pasangan pelakon, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel.

Semangat membantu penduduk di negara bergolak itu menyebabkan hantaran yang dimuat naik di platfrom Instagram milik Siti Nurhaliza disekat pada Khamis lalu.

Terdahulu, Israel menjalankan serangan udara dan artileri ke atas Gaza sejak serangan Hamas yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,400 maut dan 199 dijadikan tebusan.

Konflik kali ini menyaksikan lebih 4,000 orang terbunuh dan puluhan ribu orang cedera dalam serangan udara tentera Israel terhadap rakyat Palestin di bumi Gaza.

Baca juga: Diuji lepas 16 tahun tunggu zuriat, lelaki hilang isteri dan bayi kembar 4 akibat dibom Israel