Siti Sarah meninggal dunia selepas lebih 48 jam ditidurkan

Oleh ARIF ATAN

Penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 36, akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19, jam 5.13 pagi ini.

Pemergian ibu kepada empat cahaya mata di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) itu disahkan oleh suaminya, Shuib Sepahtu di laman Instagram (IG).

“5:13 minit pagi, 9 Ogos. Bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan al-Fatihah,” kata Shuib.

Semalam, Shuib berkongsi keadaan isterinya yang kritikal apabila paras bacaan oksigen jatuh ke paras 40 peratus.

Terdahulu, penyanyi lagu Kesetiaan itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Pada 6 Ogos lalu, Siti Sarah selamat menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.

Sarah dan Shuib sekeluarga positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak berbahaya itu.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum ini dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.

Sehingga semalam, sebanyak 10,749 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan dengan rekod tertinggi semalam 360 kes.

Secara purata, lapan kes kematian akibat Covid-19 berlaku dalam tempoh setiap sejam sepanjang 1 hingga 7 Ogos lalu.

Negara kini mencatatkan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 1,262,540 kes dengan bilangan harian tertinggi mencecah 20,889 kes pada 6 Ogos lalu.