Malaysia Dateline

Siti seronok kumpul pahala dari kecaman orang ramai

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin secara sinis berkata, dia gembira mengumpul banyak pahala menjelang minggu terakhir Ramadan ini.

Dipercayai berkaitan dengan majlis tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa pada 26 April lalu yang mengundang kecaman warganet, Siti menyuarakan hal itu menerusi InstaStory di akaun Instagramnya.

“Alhamdulillah, saya patut tengah seronok ni, kumpul pahala banyak-banyak 10 malam terakhir ni… kata ustaz bila berhadapan dengan dugaan ni… Betullah ustaz, dapat pahala free berganda-ganda pulak tu. Alhamdulillah,” kata Siti.

Sejak 2 Mei lalu, orang ramai tidak berpuas hati dan mempersoalkan kehadiran penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan beberapa individu ternama lain yang hadir di majlis tahnik anak pasangan berkenaan.

Rata-rata warganet berang apabila individu terbabit dikatakan merentas negeri untuk hadir ke majlis tersebut ketika negara dalam fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penyanyi lagu Cindai berkenaan sebelum ini tampil menjelaskan kehadiran Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

Sebaliknya bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu, kata Siti, hanya singgah menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum bergegas ke urusan lain.

Sementara itu, Ustaz Azhar pula berkata, dia memang berada di rumah ibu mentuanya di Kuala Lumpur sewaktu majlis tersebut diadakan.

Dia yang sudah tiga tahun berkawan dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K hanya menuruti permintaan rakannya, untuk menghadiri majlis tersebut.