Malaysia Dateline

Siti Zailah didakwa cuai melindungi kepentingan, keselamatan kanak-kanak

Wanita Harapan melahirkan rasa dukacita serta kecewa terhadap paparan tindakan Timbalan Menteri di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff yang telah bersikap cuai dalam melindungi hak kanak-kanak di media sosial beliau (posting Instagram beliau yang telah dipadam).

Katanya, tindakan beliau berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak tersebut yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini telah tular di media sosial dan media arus perdana sehingga nama dan gambar kanak-kanak ini dilaporkan di muka surat pertama Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos 2020.

“Wanita Harapan ingin menegaskan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab Timbalan Menteri dan kecuaian beliau adalah bersalahan dengan Akta Kanak-Kanak yang melindungi kepentingan, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Dalam kenyataan bersama Ketua Wanita AMANAH Aiman Athirah, Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh dan Ketua Wanita DAP Chong Eng menegaskan sebagai Kementerian utama yang menjadi pemegang taruh terpenting isu kanak-kanak di Malaysia, beliau seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap hak kanak-kanak tersebut dan menjadi teladan baik kepada orang awam dan pihak media.

“Tragedi dan keadaan traumatik kanak-kanak ini sepatutnya tidak disebarluaskan untuk tontonan umum apatah lagi dijadikan ruang oportunis meraih sokongan politik,” katanya.

Justeru, Wanita Harapan menggesa semua pihak termasuk pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional dan Utusan Malaysia untuk memahami dan menghormati perundangan sedia ada yang melindungi kanak kanak di Malaysia.