Malaysia Dateline

Siti Zainon Ismail dipilih Sasterawan Negara ke 14

Prof Dr Siti Zainon Ismail hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara sekali gus membawa gelaran Sasterawan Negara ke 14.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu sidang media di sini hari ini.

“Lantikan dibuat selepas panel bersetuju dengan nasihat Sasterawan Negara lain.

“Kita tak ketepikan pandangan sasterawan lain. Maka panel akhirnya memilih Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14.

“Gelaran tersebut juga melayakkan Siti Zainon menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, hak penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku maksimum berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

“Siti Zainon juga akan menerima kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk penerbitan karya, perterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing dan elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya dalam sidang media di KPM hari ini seperti dilapor Astroawani.

Siti Zainon yang dilahirkan 18 Disember 1949 di Gombak, merupakan pengkaji seni budaya warisan Melayu selain aktif sebagai seniman penyair dan pelukis.
Setakat ini beliau sudah menghasilkan tiga novel, 10 kumpulan cerpen, 25 kumpulan puisi, tujuh antologi cerpen dan lima antologi puisi.

Di peringkat antarabangsa, Siti Zainon turut diiktiraf pelbagai anugerah termasuk SEA Write Award pada 1989 dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) melibatkan Anugerah Seni Budaya 2015.