Situasi banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sangat merisaukan justeru itu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu usul itu dibahaskan hari ini.
“Situasi banjir di Pantai Timur sekarang sangat merisaukan. Saya berharap usul ini dibahaskan hari ini di Dewan Rakyat,” katanya di Facebook,” katanya.
Dia mahu Dewan Rakyat mengutamakan perbincangan berhubung langkah mitigasi banjir dengan segera bagi membendung risiko dan impak banjir, khususnya di negeri Pantai Timur.
Presiden Muda itu berkata, beliau telah mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul agar situasi banjir di negeri berkenaan dapat dibahaskan.
Beliau menegaskan isu banjir itu adalah perkara berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu ditangani segera.
Antara perbahasan segera mengenai solusi banjir yang dicadangkan termasuk mengisytiharkan darurat iklim peringkat nasional; mengurangkan birokrasi dalam urusan pemberian bantuan sebelum, semasa dan selepas bencana; serta penyelarasan koordinasi dan bantuan di peringkat negeri dan persekutuan.
Syed Saddiq turut mencadangkan supaya melibatkan semua wakil rakyat pihak kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah serta memastikan mangsa bencana dibantu secara holistik ketika dan selepas banjir.
Baca juga: Perkukuh hubungan dua hala Malaysia – Mahmoud Abbas ucap tahniah kepada PM Anwar