Malaysia Dateline

Situasi genting, menteri jangan bersikap acuh tak acuh

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz bahawa Kementerian Kewangan sedang dalam fasa memperhalusi satu pakej rangsangan khas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meringankan kesukaran yang dialami oleh industri tersebut.

Mengulas laporan Bernama, beliau berkata, menteri berkenaan juga turut memaklumkan bahawa perkara itu akan dibawa ke peringkat Kabinet pada minggu hadapan.

“Sikap acuh tak acuh dan tidak endah yang ditunjukkan Menteri Kabinet dalam hal ini sangat bertentangan dengan semangat “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi menangani cabaran yang terjadi ekoran pandemik Covid-19 – mereka bertindak seolah-olah negara tidak berdepan sebarang krisis!

“Sejak Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion pada 27 Mac lalu, pengusaha PKS yang terjejas ekoran krisis wabak ini mengharapkan dan ternanti-nanti bilakah kerajaan akan mengumumkan pakej ekonomi bagi membantu mereka.

“Mengapa Menteri Kabinet tidak boleh bermesyuarat hari ini atau esok bagi meluluskan pakej rangsangan ekonomi untuk PKS tersebut?” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri ini melalui blognya semalam.

Beliau menggesa semua Menteri Kabinet agar tidak bersikap acuh tak acuh dan tidak endah, sekali gus sedar bahawa situasi luar biasa dan genting seperti ini memerlukan penyelesaian yang luar biasa.

Katanya, mereka harus mengguna pakai moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” untuk menangani sebarang cabaran yang timbul ekoran pandemik Covid-19.

“Kehidupan majoriti rakyat biasa berubah sama sekali ekoran pandemik Covid-19. Mengapa Menteri Kabinet bertindak seolah-olah tidak endah dan acuh tak acuh sebegitu sekali?

“Situasi cemas masih menyelubungi persoalan tentang sama ada Malaysia mampu mengharungi gelombang kedua pandemik Covid-19, yang mana tidak akan terjadi sekiranya setiap daripada kita mengguna pakai moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja”.

“Sekalipun kita mampu mengharungi gelombang kedua pandemik Covid-19, kita perlulah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kemunculan semula wabak tersebut,” katanya lagi.

Menurut Kit Siang, beliau amat bimbang apabila mendengar pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah pada Khamis lalu, bahawa terdapat peningkatan kes positif Covid-19 sebanyak 208 kes dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 3,116 kes, dan terdapat tiga lagi kematian membawa jumlah kematian kini kepada 50.

“Ini merupakan kali ketiga jumlah kes baharu melebihi angka 200, dengan kadar kematian mencapai tahap tertinggi iaitu 1.6%.

Sehubungan itu tambahnya, tidak ada sebab lagi untuk Menteri Kabinet tidak bertindak serius dalam menghadapi wabak ini.