Malaysia Dateline

Situasi kesihatan Tun M: ‘Jangan dengar cerita yang bukan-bukan’

Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya meminta orang ramai untuk jangan terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Beliau berkata orang ramai perlu menunggu maklumat perkembangan terkini daripada pihak yang sewajarnya terutama IJN yang mengendalikan rawatan Dr Mahathir.

“Saya tidak dapat ulas perkembangan Dr Mahathir (hari ini), disebabkan tidak berada di sana (IJN).

“Sebagaimana saya tegaskan, jangan dengar cerita yang bukan-bukan, sebelum ini pun IJN sudah mengeluarkan kenyataan,” dipetik BH.

Menurutnya, terlalu ramai yang menghubunginya untuk mengetahui keadaan semasa kesihatan Ahli Parlimen Langkawi yang juga bekas Perdana Menteri dua kali itu.

“Saya ingin jelaskan kepada semua, jangan terpengaruh dengan berita yang tidak sah. Yang penting doakan kesihatan beliau bertambah baik.

“Terima kasih semua,” ulasnya.

Semalam, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan ayahnya stabil dan memberi respon yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan pada 8 Januari lalu.

Sebelum ini, Dr Mahathir dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu, 7 Januari lepas.