Malaysia Dateline

Sivarraajh masih Ahli Parlimen Cameron Highland, kata Speaker Dewan Rakyat

Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh masih dianggap sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dan beliau dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof semasa sidang Dewan Rakyat hari ini, atas alasan Sivarraajh telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Jelasnya, selepas keputusan yang dibuat oleh Hakim Pilihan Raya di bawah subseksyen 36(1) Akta 5, Mahkamah Pilihan Raya mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat perakuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pengeluaran perakuan itu akan ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

“Selagi tidak menerima perakuan, SPR tidak akan mengisytiharkan kekosongan kerusi.

“Oleh kerana SPR hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi (Parlimen) sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai Yang Berhormat Cameron Highlands masih dianggap sebagai seorang Ahli Parlimen,” katanya.